Anda di sini

RM2.8 bilion diperuntuk bagi projek, senggara jalan di Johor

Advertisement
 

KOTA TINGGI: Sebanyak RM2.8 bilion peruntukan diluluskan bagi projek dan kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di Johor tahun ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata peruntukan bagi 303 projek dan kerja penyenggaraan di bawah kementerian itu merangkumi 43 projek bangunan bernilai lebih RM816 juta, 134 projek senggara bangunan (RM87 juta), 24 projek jalan (RM1.8 juta), 88 projek senggara jalan (RM125 juta) dan 14 projek cerun bernilai RM10 juta.

Menurut Fadillah, peruntukan tambahan berjumlah RM650,000 turut diluluskan bagi pemasangan lampu jalan di kawasan gelap dan berisiko di Jalan Persekutuan FT003 iaitu Jalan Mersing-Kota Tinggi yang melibatkan laluan haiwan liar.

"Dalam tinjauan kita bermula di sempadan Pahang-Mersing-Kota Tinggi, kebanyakan aduan adalah berhubung dengan keadaan jalan. Sebab itu dalam tinjauan, memang kita melihat keadaan jalan perlu dibaiki disebabkan keretakan yang agak serius.

"Kita juga melalui kawasan di sebahagian jalan yang menjadi laluan binatang liar khususnya gajah yang terdapat beberapa kemalangan melibatkan kematian haiwan itu,” katanya kepada pemberita sempena Jelajah FTRoadpedia Selatan 2.0 di sini hari ini. 

Fadillah berkata kementeriannya turut memperuntukkan RM52.8 juta bagi projek perintis Kontrak Berdasarkan Prestasi (PBC) untuk Jalan Persekutuan FT001 (Johor Bahru-Ayer Hitam), FT003 (Johor Bahru-Kota Tinggi) dan FT005 (Johor Bahru-Pontian).

Menurutnya, kontrak selama lima tahun itu membolehkan penilaian terhadap syarikat dilantik diukur mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.

Menerusi PBC, syarikat dilantik akan menanggung kos sekiranya jalan yang sudah disenggara rosak semula dalam tempoh kontrak.

"Alhamdulillah, di peringkat Kerajaan Persekutuan kita dah meluluskan projek rintis untuk Johor dan bermula di Johor sebenarnya iaitu PBC, maknanya jalan ini akan dinilai Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi JKR negeri dengan syarikat konsensi iaitu Selia Selenggara bagi zon selatan.

Fadillah berkata jalan-jalan yang mengalami masalah dan perlu dibaiki akan dinilai syarikat konsensi untuk cadangan penambahbaikan dan pihak tersebut akan bertanggungjawab ke atas jalan yang dibaiki dalam tempoh lima tahun. 

"Sepanjang tempoh itu, jalan ini akan ditanggung oleh mereka (Selia Selenggara) dari segi waranti sehingga tamat tempoh konsensi mereka sebagai tempoh jaminan kerja-kerja yang mereka buat," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement