Anda di sini

Pekerja kilang cederakan kenalan guna bangku, kayu dipenjara lima bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencederakan kenalannya menggunakan sebuah bangku dan sebatang kayu pada minggu lalu. 

Tertuduh, Mohamad Fuad Ganti, 31, dari Spaoh, mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua seksaan tersebut, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mencederakan kenalan lelakinya yang berusia 23 tahun dalam satu kejadian pada 13 Ogos lalu, sekitar jam 8.05 malam di sebuah kilang kayu di Bintawa Industrial Estate di sini.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah dipukul oleh tertuduh menggunakan sebuah bangku kayu pada hari kejadian.

Tertuduh juga menumbuk kepala mangsa menggunakan tangan, menarik baju mangsa sehingga koyak dan memukul mangsa menggunakan sebatang kayu, sehingga menyebabkan mangsa bertindak melarikan diri ke keretanya. 

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian kepala, tengkuk dan belakang badan.
 
Laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuching pada keesokkan harinya (14 Ogos) sekitar jam 1.50 petang. 

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah memukul mangsa menggunakan sebuah bangku kayu sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa dan kejadian ini disaksikan oleh dua individu lain yang berada di tempat kejadian.
Salah seorang saksi lain turut melihat tertuduh mencekik mangsa. 

Difahamkan, tertuduh dikatakan berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berlaku.

Dalam pada itu, Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh dikuat kuasakan mulai dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Ogos lalu.

Tertuduh tidak diwakili peguam. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
 

  • oleh
  • Advertisement