Anda di sini

Nahas bas di Maghribi, 23 maut, 36 cedera

Advertisement
Anggota penyelamat dan pasukan keselamatan bertugas di lokasi nahas bas di lebuh raya di wilayah Khouribga, di ibu kota ekonomi Maghribi, Casablanca kelmarin. — Gambar AFP
Anggota penyelamat dan pasukan keselamatan bertugas di lokasi nahas bas di lebuh raya di wilayah Khouribga, di ibu kota ekonomi Maghribi, Casablanca kelmarin. — Gambar AFP

RABAT: Satu nahas bas di timur ibu kota ekonomi Maghribi, Casablanca kelmarin telah menyebabkan 23 orang maut, menurut pihak berkuasa tempatan, menandakan salah satu nahas paling maut dalam kemalangan sedemikian beberapa tahun ini.

Bas itu terbalik di selekoh lebuh raya di wilayah Khouribga pada waktu pagi, kata pihak berkuasa, selepas memberi angka awal kematian pada 15 orang.

Pengarah kesihatan tempatan Rochdi Kaddar kemudian mengemaskini angka kematian kepada 23, turut memberitahu bahawa seramai 36 yang lain tercedera dalam kemalangan itu. 

Bas itu sedang bergerak antara Casablanca dan kawasan luar bandar Ait Attab, berhampiran bandar Beni Mellal di kaki pergunungan Atlas Tinggi.

Mereka yang cedera dibawa ke sebuah hospital di Khouribga dan siasatan telah dibuka ke atas kemalangan tersebut.

Kemalangan jalan raya, selalunya membawa maut, agak kerap berlaku di Maghribi dan negara-negara Afrika Utara yang lain.

Purata sebanyak 3,500 kematian dan 12,000 kecederaan telah direkodkan setiap tahun di Maghribi, menurut Agensi Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, dengan purata 10 kematian setiap hari. — AFP 
 

Advertisement