Anda di sini

Kyrgios hilang sabar disebabkan lampu LED papan iklan

Advertisement
Aksi Fritz ketika menentang Kyrgios pada perlawanan tenis lelaki di Kejohanan Siri Masters Cincinnati di Mason, Ohio. — Gambar AFP
Aksi Fritz ketika menentang Kyrgios pada perlawanan tenis lelaki di Kejohanan Siri Masters Cincinnati di Mason, Ohio. — Gambar AFP

CINCINNATI: Nick Kyrgios hilang sabar ketika membantah lampu iklan dalam gelanggang apabila naib juara Wimbledon itu tewas 6-3 dan 6-2 kepada pemain tuan rumah, Taylor Fritz pada kejohanan Siri Master Cincinnati di sini.

Pemain dari Australia itu mengadu dari awal dengan mendakwa terganggu dengan lampu LED yang berkelip-kelip di papan iklan dan menuntut ia diperbaiki.

Kyrgios, pemain ranking ke-28 dunia, selepas menyerlah pada musim panas ini termasuk memenangi kejuaraan di Washington bulan ini, mungkin tidak berada di tahap permainan terbaik apabila disingkirkan oleh Fritz, pemain pilihan ke-11 kejohanan dalam masa hanya 50 minit.

Dia sudah menewaskan Fritz pada lima perlawanan terakhir dan memiliki rekod 15-2 sejak mengejutkan ramai pihak apabila melangkah ke final Wimbledon, di mana dia tewas kepada Novak Djokovic.

Tetapi selepas mengakui bahawa dia hanya menunggu masa untuk kembali ke Australia selepas Terbuka AS, Kyrgios kelihatan tidak bersemangat dalam gelanggang.

Fritz melakukan 12 pukulan servis kencang untuk memenangi mata akhir pertama.

“Ia berasa hebat dengan cara permainan saya menyerlah hari ini,” kata Fritz. “Perlawanan seperti ini membina keyakinan saya. Banyak perkara berhasil hari ini.”

Jaguh dari Britain yang juga juara dua kali kejohanan, Murray, memerlukan rawatan tepi gelanggang sebelum dapat meninggalkan padang selepas beraksi untuk lebih dua jam pada kejohanan persediaan terakhir ke Terbuka AS itu sebelum tewas 3-6, 6-3 dan 6-4 kepada Cameron Norrie.

“Ada ketikanya saya merasakan saya bermain dengan sangat baik dan ada juga yang tidak bagus. Konsistensi saya mungkin tidak seperti yang saya mahukan,” kata Murray.

Norrie melakukan 39 pukulan kemenangan berbanding 37 dilakukan Murray.

“Saya tidak cukup cergas di awal permainan,” kata Norrie. “Saya tidak bermain dengan cara yang saya mahu. Saya berasa gembira untuk meneruskan kemaraan walaupun tidak bermain di tahap terbaik.”

Pada perlawanan lain, Ben Shelton mengejutkan pilihan kelima kejohanan, Casper Ruud 6-3 dan 6-3. 

Dalam bahagian wanita, pemain pilihan ke-10, Emma Raducanu, menewaskan juara Grand Slam kedua dalam masa dua hari selepas menamatkan cabaran Victoria Azarenka 6-0 dan 6-2.

Pemain remaja yang memenangi Terbuka AS tahun lepas itu memenangi 10 permainan pertama sebelum Azarenka cuba bangkit tetapi hanya mampu menang dia permainan sebelum tewas.

Raducanu, pemain dari Britain, menyingkirkan jaguh veteran dari AS, Serena Williams, juga dengan kemenangan 6-0 pada satu set.

“Saya bermain dengan baik, itu yang pasti,” kata Raducanu. “Untuk menentang Vika, saya perlu sentiasa fokus.

“Dalam set kedua, saya boleh merasakan saat yang penting. Saya gembira bagaimana saya berusaha untuk menang.”

Perlawanan lain menyaksikan finalis Wimbledon, Ons Jabeur dari Tunisia yang juga pilihan kelima kejohanan, menewaskan pemain tuan rumah, Caty McNally 6-3, 4-6 dan 7-6(9/7). — AFP
 

Advertisement