Anda di sini

Kebakaran rumah atas air di Sabah meningkat

Advertisement
 Abdul Razak ketika ditemui semasa dalam program menonton tayangan bersama Bomba.
TEMURAMAH: Abdul Razak ketika ditemui semasa dalam program menonton tayangan bersama Bomba.

TAWAU: Kebakaran yang melibatkan rumah atas air menunjukkan peningkatan dalam tempoh lapan bulan tahun ini, kata pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Abdul Razak Muda.

Menurutnya, secara general kes kebakaran di kawasan tersebut bilangannya meningkat dan berlaku di beberapa daerah seperti Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Kota Kinabalu.

“Kita masih belum boleh membuat perbandingan yang tepat kerana masih ada berbaki empat bulan lagi tahun ini.

“Namun, kebakaran rumah atas air tahun ini memang agak tinggi dan ia membabitkan kemusnahan besar seperti yang berlaku di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program menonton tayangan bersama bomba di 10 Star Cinema, di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya, kebakaran yang melibatkan hutan belukar agak berkurangan dan setakat ini belum ada kes tersebut diterima.

“Kebakaran kawasan kering yang biasanya melibatkan hutan belukar masih belum berlaku di Sabah dan ini mungkin disebabkan dengan faktor cuaca monson timur laut,” katanya.

Mengenai tayang bersama bomba ini, Abdul Razak berkata JBPM Sabah mahu menggunakan platform panggung wayang untuk mewar-warkan kempen keselamatan kebakaran yang sedang giat dilaksanakan di seluruh Sabah.

“Tahap keselamatan kebakaran yang mungkin kita akan terapkan kepada penonton sebelum tayangan bermula.

“Kita sudah buat sebelum ini di Kota Kinabalu, panggung wayang di sana menggunakan animasi untuk mewar-warkan berkaitan isu keselamatan dan ia dilihat lebih kreatif.

“Saya berharap kerjasama dengan panggung wayang yang ada di negeri ini sentiasa diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kesedaran keselamatan kebakaran,” katanya.

Terdahulu, seramai lebih 300 orang terdiri masyarakat daerah Tawau dan sekitaranya menonton wayang secara percuma bersama pengarah JBPM Sabah.

Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen, pegawai dan anggota bomba Tawau.

  • oleh
  • Advertisement