Anda di sini

Eksekutif jualan bebas tuduhan edar syabu, rakan diperintah bela diri

Advertisement
Loh (empat kanan) bersama ahli keluarganya setelah dibebaskan oleh mahkamah daripada pertuduhan. Turut kelihatan, Orlando (dua kanan).
Loh (empat kanan) bersama ahli keluarganya setelah dibebaskan oleh mahkamah daripada pertuduhan. Turut kelihatan, Orlando (dua kanan).

SIBU: Seorang eksekutif jualan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar syabu oleh Mahkamah Tinggi sementara rakannya diperintah membela diri pada akhir pendakwaan kes hari ini.

Michael Loh dibebaskan setelah Hakim Christopher Chin Soo Yin mendapati tiada kes prima facie terhadap tertuduh, sebaliknya pihak pendakwa raya hanya berjaya membuktikan kes terhadap Loi Kwong Kiat.

Sehubungan itu, mahkamah membebaskan Loh daripada pertuduhan tanpa perlu membela diri. Sementara itu, mahkamah turut menetapkan tarikh 31 Oktober dan 1 November depan untuk Loi membela diri.

Chin ketika membacakan keputusanya berkata, kes pihak pendakwa raya amat sempurna meskipun wujud jurang di mana ada yang dapat dijelaskan dan ada yang tidak dapat dijelaskan.

"Atas dasar sama, ada alasan atau penjelasan daripada kedua-dua tertuduh sukar untuk dipercayai, namun difahamkan kes ini melibatkan kesalahan utama," ujarnya.

Mengikut pertuduhan sebelum ini, kedua-dua mereka didakwa bersama mengedar Methamphetamine seberat 65.94 gram pada 7 Julai 2020, kira-kira jam 2.30 pagi di sebuah bilik di Lorong Tun Ahmad Zaidi Adruce 36.

Sehubungan itu, kedua-dua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 39B(2) boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

Loh diwakili peguam bela Orlando Chua sementara Loi diwakili oleh Rosli Gapor. Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto.
 

  • oleh
  • Advertisement