Anda di sini

Dua wanita mengaku melacur dipenjara empat bulan selepas gagal bayar denda

Advertisement
 

SIBU: Dua wanita masing-masing dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melacur.

Doris Ngady, 33, dan Nayan Ajon, 52, dijatuhi hukuman itu setelah kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Doris didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di Jalan Market pada 17 Ogos 2022, kira-kira jam 2.15 petang.

Sementara Nayan didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah bilik tidak bernombor di Jalan Street pada 17 Ogos 2022, kira-kira jam 3.15 petang.

Bagi pertuduhan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis telah menyerbu bilik hotel di Jalan Market dan mendapati tertuduh iaitu Doris dalam keadaan bogel bersama seorang lelaki.

Pihak polis turut merampas sekeping kondom yang telah digunakan serta wang tunai RM60.

Dalam kes Nayan, pihak polis telah menyerbu sebuah bilik rumah kedai di Jalan Street dan menahan tertuduh bersama seorang lelaki, dalam keadaan bogel.

Sekeping kondom yang telah digunakan serta wang tunai RM50 juga telah dirampas sebagai bahan bukti.

Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda masing-masing dan diperintah menjalani hukuman penjara empat bulan. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili. 

  • oleh
  • Advertisement