Anda di sini

Detik di Kejohanan Olahraga Eropah 

Advertisement
Pichardo mengibarkan bendera Portugal selepas dinobatkan johan acara  final lompat kijang lelaki di Munich. — Gambar AFP
Pichardo mengibarkan bendera Portugal selepas dinobatkan johan acara final lompat kijang lelaki di Munich. — Gambar AFP

MUNICH: Juara dunia dan Sukan Olimpik, Pedro Pichardo menambah pingat emas dalam acara lompat kijang lelaki Eropah di sini pada Rabu sementara atlet wanita dari Belanda, Femke Bol, mengekalkan peluang untuk memenangi kejuaraan berganda dalam acara trek.

Pichardo, atlet kelahiran Cuba yang bertanding untuk Portugal sejak 2019, menguasai acara dengan lompatan terbaik sejauh 17.50 meter, diikuti atlet dari Itali, Andrea Dallavalle (17.04 meter) dan Jean-Marc Pontvianne dari Perancis (16.94).

“Saya benar-benar gembira dengan pingat emas ini, ia kelihatan mudah tetapi tidak. Ini adalah keputusan dari kerja-keras,” kata Pichardo.

“Ini adalah kejuaraan yang bagus dan satu kejuaraan yang saya mahu capai, jadi saya benar-benar gembira dengan kemenangan ini.

“(Lompatan) 17.50 tidak begitu bagus, saya tidak terlalu gembira kerana saya memburu keputusan lebih bagus. Tetapi secara keseluruhannya, saya sememangnya gembira dengan pingat emas.”

Bol, 22, juga menguasai acara 400 meter wanita, menang dengan catatan masa 49.44 saat, di hadapan dua atlet dari Poland, Natalia Kaczmarek dan Anna Kielbasinska.

Pemenang pingat perak kejohanan dunia dan gangsa di Sukan Olimpik dalam acara 400 meter lompat pagar, Bol sekarang mengalihkan perhatian kepada acara  lompat pagar.

Tetapi tiada kelebihan untuk atlet dari Belanda itu, dengan acara separuh akhir 400 meter lompat pagar dijadualkan pada pukul 10.11 pagi waktu tempatan dan final berlangsung pada sebelah malam hari yang sama pada Khamis.

Dia kemudian akan menyertai acara berganti-ganti 4x400 meter pada sebelah malam Sabtu untuk peluang memenangi tiga pingat emas.

“Perlumbaan ini lebih sukar berganding 400 meter berpagar,” kata Bol. “Selepas perlumbaan, saya menyedari jadual perlumbaan sangat dekat.

“Saya berasa sangat yakin dan juga bersemangat. Ini adalah pingat emas pertama saya pada kejohanan terbuka,” katanya sambil menambah: “Saya tahu saya tidak dapat tidur lena  malam ini, jadi acara 400 meter berpagar esok pastinya sukar.”

Ia bagaimanapun malam  yang lena buat pemenang pingat gangsa kejohanan dunia, Matthew Hudson-Smith dari Britain dalam acara 400 meter lelaki apabila  berjaya mempertahankan kejuaraan dengan masa 44.53 saat.

Ricky Petrucciani dari Switzerland di tempat kedua sementara rakan senegara Smith, Alex-Haydock-Wilson di tempat ketiga.

Namun tiada berita gembira buat dua juara bertahan, Pascal Martinot-Lagarde dan Aikaterina Stefanidi dari Greece.

Martinot-Lagarde dinafikan pingat emas dengan jurang yang tipis dalam acara 110 meter lompat pagar lelaki apabila Asier Martinez dari Sepanyol disahkan pemenang menerusi semakan gambar penamat.

Seorang lagi atlet dari Perancis, Just Kwaou-Mathey, menduduki tempat ketiga.

Stefaini pula dinafikan hatrik acara lompat bergalah wanita di Eropah apabila tewas kepad Wilma Murto dari Finland, yang melepasi ketinggian 4.85 meter.

Stefanidi, juara Sukan Olimpik 2016, hanya mampu melepasi ketinggian 4.75 meter untuk tempat kedua sementara Tina Sutej dari Slovenia di tempat ketiga.

Acara baling tukul besi wanita dimenangi Bianca Ghelber dari Romania ketika ketiadaan juara empat kali, Anita Wlodarczyk dari Poland.

Pemegang rekod dunia itu sudah memenangi emas di tiga Sukan Olimpik terakhir dan juga empat kejohanan dunia tetapi tidak beraksi di sini dan pada kejohanan  olahraga dunia di Eugene selepas mengalami kecederaan ketika cuba mengejar lelaki yang cuba mencuri keretanya. — AFP 
 

Advertisement