Anda di sini

China alami gelombang haba terburuk

Advertisement
 

BEIJING: Lebih lima juta penduduk di barat daya China kelmarin terputus bekalan kuasa akibat gelombang haba yang mewujudkan masalah bekalan elektrik, sekali gus memaksa kilang-kilang untuk menghentikan kerja.

Suhu di seluruh wilayah Sichuan telah melepasi 40 darjah Celsius dalam beberapa hari kebelakangan ini, menyebabkan peningkatan dalam penggunaan pendingin hawa.

Kawasan ini juga sangat bergantung pada empangan untuk menjana elektriknya namun cuaca yang panas telah menyebabkan takungan air kering, memburukkan lagi masalah kekurangan tenaga.

Sebuah syarikat tenaga tempatan berkata Dazhou, sebuah bandar yang mempunyai 5.4 juta orang di timur laut wilayah itu, hanya akan menerima bekalan elektrik buat seketika pada Rabu, menurut The Paper, media dalam talian yang berpusat di Shanghai.

Penduduk akan mengalami gangguan yang boleh berlarutan sehingga tiga jam dan bekalan akan terus diputuskan jika diperlukan, kata laporan itu, memetik Dazhou Electric Power Group.

“Beban pada talian kuasa terlalu berat” dan akan menjejaskan kawasan bandar serta perumahan dan kampung di sekitar Dazhou, kata The Paper.

Kilang-kilang di Sichuan termasuk kerjasama dengan pembuat kereta Jepun, Toyota terpaksa menghentikan kerja selepas pihak kerajaan berkata mereka akan memberi keutamaan untuk menyalurkan kuasa ke kawasan kediaman berbanding operasi komersial.

Toyota telah menghentikan kerja di sebuah kilang di ibu kota wilayah Chengdu pada Isnin, seorang jurucakap yang mengatakan ia “selaras dengan panduan pihak berkuasa”.

Arahan daripada kerajaan berkuat kuasa kepada semua syarikat di kawasan itu, tambahnya. Jurucakap itu enggan mengulas mengenai kesannya ke atas operasi Toyota.

Pembuat bateri terbesar dunia untuk kenderaan elektrik, Contemporary Amperex Technology, juga telah menghentikan pengeluaran di bandar Yibin.

Sichuan menghasilkan separuh daripada litium negara, yang digunakan dalam bateri kenderaan elektrik, dan projek kuasa hidronya membekalkan elektrik ke hab-hab perindustrian utama di sepanjang pantai timur China.

Namun demikian, 19 daripada 21 bandar di wilayah itu telah diarahkan untuk menangguhkan pengeluaran perindustrian sehingga Sabtu.

Beberapa bandar utama di China telah mencatatkan suhu terpanas mereka tahun ini dan kelmarin pemerhatian nasional telah mengemaskini amaran merah untuk suhu tinggi  – amaran paling serius dalam sistem empat peringkatnya.

Memandangkan tiada hujan, isipadu air di sungai-sungai utama Sichuan telah menurun 20 hingga 50 peratus, sekali gus memberi kesan ke atas penjanaan tenaga hidro.

Pentadbiran Meteorologi China berkata negara itu sedang melalui suhu tinggi berterusan yang paling lama sejak rekod dimulakan pada 1961, dengan amaran suhu selama 64 hari berturut-turut di pelbagai wilayah bermula pada Jun.

Lebih daripada satu pertiga stesen cuaca di China mencatatkan haba melampau pada musim panas ini, dengan 262 daripadanya mencapai atau melepasi rekod sebelumnya.

Cuaca yang melampau telah menjadi lebih kerap lantaran perubahan iklim, menurut ahli saintis, memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat di seluruh dunia. — AFP 
 

Advertisement