Anda di sini

30 kekosongan jawatan pegawai kanan Kontinjen Sabah

Advertisement
 Idris menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada Nor Azizulkifli yang akan berpindah keluar Kontinjen Sabah.
PENGHARGAAN: Idris menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada Nor Azizulkifli yang akan berpindah keluar Kontinjen Sabah.

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah merekodkan 30 kekosongan jawatan pegawai kanan berdasarkan semakan perjawatan terkini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata kekosongan itu termasuklah dua jawatan bagi pangkat Deputi Superintendan (DSP), 12 Asisten Superintendan (ASP) dan 16 Inspektor.

“Kontinjen Sabah juga mencatatkan kekosongan genting bagi Pasukan Polis Marin (PPM) memandangkan PPM antara barisan hadapan pasukan yang terlibat secara langsung dalam operasi khasnya di perairan Sabah.

“Ini menunjukkan kadar kekosongan keseluruhan melibatkan pegawai dan anggota iaitu seramai 70 orang termasuk sembilan pegawai dan 61 anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di IPK Sabah semalam.

Idris berkata pihaknya berharap kekosongan jawatan ini dapat diisi dengan segera berikutan isu keselamatan adalah perkara yang paling utama dalam memastikan keselamatan  negeri ini terjamin. 

“Kita tidak mahu hal kekurangan keanggotaan ini menjejaskan perkhidmatan polis di lapangan kelak,” katanya.

Dua pegawai kanan Kontinjen Sabah akan berpindah keluar kontinjen masing-masing Superintendan Nor Azizulkifli Mansor yang sebelum ini menjalankan tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau bertukar kepada Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) IPK Selangor dan Deputi Superintendan Rohana Nanu bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Belaga Sarawak.

Dua lagi pegawai kanan dinaikkan pangkat dengan memangku pangkat lebih tinggi iaitu George Abd Rakman memangku pangkat Asisten Komisioner dan Champin Piuh memangku pangkat Superintendan.

19 lagi pegawai Kontinjen Sabah dinaikkan pangkat dari Asisten Superintendan kepada Deputi Superintendan mengikut kaedah saringan berteraskan kompetensi tahun ini.

Jumlah itu termasuklah enam pegawai daripada formasi iaitu dua Pasukan Gerakan Udara (PGU), seorang Pulapol, tiga PPM Wilayah 4 dengan jumlah keseluruhan 25 orang.

“Semoga dengan kenaikkan pangkat ini akan memberi suntikan semangat yang lebih tinggi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan dan pihak pihak kepimpinan tertinggi serta keluarga besar PDRM Sabah mengucapkan tahniah dengan prestasi cemerlang ini.

“Ini adalah kegembiraan di bulan kemerdekaan ini bagaimanapun di sebalik kegembiraan ini ingatlah bahawa kita mempunyai tugas yang tidak akan selesai dalam mencapai misi dan visi PDRM.  

“Kegigihan dan usaha yang berterusan akan membawa hasil yang akan diperakui oleh semua lapisan masyarakat kelak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement