Anda di sini

26 maut kebakaran hutan merebak di utara Algeria 

Advertisement
 

ALGIERS: Sekurang-kurangnya 26 orang terkorban manakala berpuluh-puluh lagi tercedera dalam kebakaran hutan yang memusnahkan 14 daerah di utara Algeria kelmarin, menurut menteri dalam negeri. 

Kamel Beldjoud memberitahu berita tempatan bahawa 24 penduduk telah kehilangan nyawa dalam kebakaran di El, Tarf, berhampiran sempadan dengan Tunisia, menyusuli dua orang lain yang maut di Setif terlebih dahulu.

Agensi pertahanan awam di Setif menyatakan bahawa dua wanita, “seorang ibu berusia 58 tahun dengan anak perempuannya yang berusia 31 tahun,” telah terbunuh di desa itu.

Di wilayah Souk Ahras, berhampiran sempadan Algeria dengan Tunisia, orang ramai dapat dilihat melarikan diri dari kediaman mereka tatkala api merebak sebelum helikopter bomba dikerahkan. 

Angka awal di Souk Ahras menyatakan empat orang telah menderita lecur dan 41 lain mengalami kesukaran bernafas. Media tempatan melaporkan seramai 350 penduduk telah dipindahkan. 

Pihak penguat kuasa telah menutup beberapa jalan akibat kebakaran tersebut. 

“Tiga puluh sembilan kebakaran sedang berlaku di 14 wilayah,” kata agensi pertahanan awam itu, menyatakan bahawa El Tarf paling terjejas, dengan 16 kebakaran sedang dikawal.

Helikopter menggunakan baldi bambi untuk menyimbah air ke api di tiga wilayah, termasuk Souk Ahras. 

Sejak awal Ogos, 106 kebakaran di Algeria telah memusnahkan lebih 2,500 hektar hutan.

Beldjoud berkata sebilangan kebakaran telah dimulakan oleh orang. 

Angka kematian kelmarin menjadikan jumlah mereka yang terbunuh akibat kebakaran hutan pada musim panas ini kepada 30.

Algeria merupakan negara terbesar Afrika namun ia hanya mempunyai 4.1 juta hektar hutan. 

Setiap tahun, negara utara ini terkesan akibat kebakaran hutan, masalah yang semakin teruk akibat perubahan iklim.

Tahun lepas, sekurang-kurangnya 90 orang maut dalam kebakaran  yang membinasakan utara Algeria, membakar lebih 100,000 hektar hutan. — AFP 
 

Advertisement