Anda di sini

Warga pendidik perlu sedia terima perubahan global

Advertisement
Abang Johari (empat kanan) menerima cenderamata daripada warga Jabatan Pendidikan pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak di  Dewan Suarah Limbang hari ini. Turut kelihatan (dari empat kiri) Dr Abdul Rahman, Hasbi, Dr Azhar, Roland, Mohamad Abu Bakar dan Paulus.
Abang Johari (empat kanan) menerima cenderamata daripada warga Jabatan Pendidikan pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak di  Dewan Suarah Limbang hari ini. Turut kelihatan (dari empat kiri) Dr Abdul Rahman, Hasbi, Dr Azhar, Roland, Mohamad Abu Bakar dan Paulus.

LIMBANG: Semua warga pendidik di Sarawak perlu sentiasa bersiap siaga untuk menerima perubahan dan menganjakkan paradigma masing-masing selaras dengan tuntutan global semasa.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tuntutan untuk menjadi pesaing global sangat mencabar.

"Keperluannya sangat tinggi. Oleh itu, visi, misi, profesionalisme, kreativiti, inovasi dan keterampilan para guru amat penting sebagai tunjang untuk merealisasikan impian ini," katanya pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Limbang, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad dan Residen Limbang Sebi Abang.

Abang Johari berkata, para guru perlu melengkapkan diri supaya dapat memudah cara pembelajaran para murid dengan pemahaman dan kesedaran tentang ilmu serta maklumat yang relevan dengan zaman mereka.

Tambahnya, para guru mempunyai peranan yang sangat penting untuk memupuk kesedaran dan pemahaman dalam kalangan murid serta masyarakat umum tentang kepentingan dan manfaat semua usaha yang dilakukan oleh kerajaan. 

"Segala usaha yang dilakukan di Sarawak merupakan agenda besar yang bakal mengubah nasib dan masa depan rakyat pelbagai kaum, khususnya masyarakat di luar bandar.

"Kejayaannya banyak bergantung kepada pemahaman dan penyertaan rakyat, khususnya generasi muda melalui bimbingan dan pemudahcaraan para guru.

"Ini ialah inisiatif untuk mereka dan kejayaannya tentu tidak hanya bergantung kepada kerajaan," katanya.

Abang Johari berkata, para guru bersama kerajaan negeri Sarawak melalui Yayasan Sarawak dan MEITD menghulurkan sokongan selagi mampu untuk membangunkan potensi anak Sarawak, seterusnya menjamin generasi yang akan menikmati kelangsungan kemajuan dan kesejahteraan bumi Sarawak ini.

“Saya juga sedar bahawa peranan utama kerajaan negeri Sarawak ialah memberi sokongan kepada agenda pendidikan kebangsaan," katanya.

Jelas beliau, sumbangan dan jasa para guru dalam apa jua program yang diadakan di sekolah memberi kesan dalam usaha untuk melahirkan generasi yang berupaya bersaing  di semua peringkat sama ada di peringkat negeri, negara mahupun dunia.

"Dengan sumbangan jasa guru-guru yang berkualiti tinggi, saya sangat berharap kita dapat menjadikan anak didik, khususnya di Sarawak, sebagai insan yang cemerlang dan berkualiti serta setanding dengan bangsa lain di seluruh pelosok dunia," ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, guru merupakan penggerak utama dalam pembangunan modal insan.

"Justeru kita memerlukan sokongan padu daripada guru untuk membina keupayaan dan kompetensi murid agar menjadi kuasa siber dan kuasa kognitif, 'cyberpower and brain power', khususnya di Sarawak.

"Sarawak memerlukan keupayaan ini bagi mengangkat martabat dan maruah serta menggerakkan Sarawak melangkah ke hadapan supaya Sarawak dengan 2.8 juta penduduknya maju menjelang tahun 2030," jelasnya.

Katanya lagi, para guru faham bahawa kerajaan negeri Sarawak komited untuk memastikan penembusan dan kepantasan Internet di negeri ini dipertingkat.

"Usaha ini amat penting terutamanya dalam usaha kita untuk menjayakan ekonomi digital. 

"Dalam usaha menghadapi cabaran dan persaingan global, kerajaan Sarawak komited untuk membina infrastruktur yang berkaitan,” katanya lagi.

Advertisement