Anda di sini

Sarawak catat 95 calon raih PNGK 4.00 dalam STPM 2021

Advertisement
Dr Azhar (tiga kiri) menyampaikan sijil cemerlang kepada Bryan Lim Kien Seng dari SMK Sacred Heart Sibu yang diiktiraf sebagai calon terbaik  STPM 2021 Negeri Sarawak.
Dr Azhar (tiga kiri) menyampaikan sijil cemerlang kepada Bryan Lim Kien Seng dari SMK Sacred Heart Sibu yang diiktiraf sebagai calon terbaik  STPM 2021 Negeri Sarawak.

LIMBANG: Seramai 95 calon sekolah di seluruh Sarawak berjaya mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.09 peratus berbanding 89 calon pada 2020.

“Selain itu, sebanyak 1,924 calon telah mendapat PNGK 3.00 ke atas,” katanya pada Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) Tahun 2021 Peringkat Negeri SarawaK di SMK Kubong di sini, hari ini.

Dr Azhar memberitahu, Bryan Lim Kien Seng dari SMK Sacred Heart Sibu diiktiraf sebagai calon terbaik STPM 2021 Negeri Sarawak.

“Manakala seorang pelajar Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Nur Hamizah Mohd Fuzi, yang merupakan murid berkeperluan pendidikan khas kategori rabun dari SMK Bako, mencatatkan kecemerlangan dalam memperoleh PNGK 3.42,” kata beliau.

Beliau menjelaskan lagi, sepuluh sekolah di Sarawak telah mencapai keputusan STPM 2021 yang amat memberangsangkan dengan merekodkan PNGK melebihi 3.00.

“Sekolah-sekolah terbabit ialah SMK Bako Kuching, SMK Sacred Heart Sibu, SMK Batu Lintang Kuching, SMK Merbau Miri, SMK Sungai Merah Sibu, SMK Green Road Kuching, SMK Kampung Nangka Sibu, SMK Saribas Betong, SMK Tung Hua Sibu dan SMK Asajaya Samarahan,” katanya.

Beliau berkata, pada 2021, 15 daripada 21 mata pelajaran yang diambil calon-calon sekolah negeri Sarawak mencatatkan kenaikan peratusan kelulusan berbanding 2020, manakala satu mata pelajaran mengekalkan peratusan kelulusan 100 peratus iaitu perakaunan.

Kata Dr Azhar lagi, 5,769 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2021 di seluruh negeri Sarawak melalui 81 pusat berdaftar.

“Ini menunjukkan peningkatan satu calon berbanding 5,768 orang pada sesi 2020.

“Daripada jumlah ini, 5,745 calon merupakan calon sekolah, manakala baki 24 orang merupakan calon persendirian,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement