Anda di sini

Sabah rekod 98.6 peratus calon lulus STPM 2021

Advertisement
 Tah Nia (duduk, dua kanan) bersama pegawai Jabatan Pendidikan merakamkan kenangan bersama calon cemerlang STPM 2021.
CEMERLANG: Tah Nia (duduk, dua kanan) bersama pegawai Jabatan Pendidikan merakamkan kenangan bersama calon cemerlang STPM 2021.

SEMPORNA: Sabah merekodkan sebanyak 98.6 peratus calon lulus peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 membabitkan jumlah calon seramai 7,107 orang.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Tah Nia Jaman berkata, seramai 425 calon daripada 7,210 calon STPM di negeri ini memperoleh keputusan 5P iaitu 5.89 peratus.

Katanya, seramai 4,763 calon iaitu 66.06 peratus mendapat keputusan 4P manakala 1,126 calon (15.62 peratus) memperoleh 3P, 519 orang (7.20 peratus) mendapat 2P, serta seramai 276 calon iaitu 3.83 peratus memperoleh 1P.

Menurutnya, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) STPM 2021 bagi Sabah menurun 0.01 mata iaitu 2.70 berbanding 2.71 pada 2020.

"Bagaimanapun, pencapaian calon STPM 2021 secara keseluruhannya dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2020 kerana perbezaan yang sangat kecil.

"Perbezaan 0.01 mata ini tidak menggambarkan siginifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2021 berbanding dengan calon STPM 2020," katanya pada majlis pengumuman keputusan STPM 2021 negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata, dari segi pencapaian individu, seramai 60 calon STPM 2021 berjaya memperoleh PNGK 4.00 berbanding seramai 72 orang pada 2020 iaitu penurunan seramai 12 calon.

Tah Nia berkata, peratusan calon STPM 2021 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2020 didapati menurun sebanyak 0.5 peratus, iaitu daripada 72.45 peratus pada 2020 kepada 71.95 peratus pada 2021.

"Secara keseluruhannya, daripada 21 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2021, satu mata pelajaran mencatatkan peratusan lulus penuh 100 peratus iaitu 'Literature In English' dengan gred C dan ke atas.

"Selain itu, sebanyak 20 pusat peperiksaan yang terletak di kawasan bandar memperoleh pencapaian lulus sebanyak 98.45 peratus manakala, sebanyak 84 sekolah di luar bandar mencapai lulus sebanyak 97.4 peratus.

"Pencapaian berkenaan menunjukkan jurang perbezaan lulus antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar sangat kecil iaitu 1.05 peratus," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 58 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus STPM 2021 membabitkan tiga kategori berdasarkan bilangan calon iaitu kategori 1 (bilangan calon 1-49), kategori 2 (bilangan calon 50-99) dan kategori 3 (bilangan calon 100 ke atas).
 

  • oleh
  • Advertisement