Anda di sini

NCIA berjaya tarik pelaburan RM17.25 bilion antara Jan-Julai 2022

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion dalam tempoh Januari hingga Julai 2022 yang akan menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaburan ini disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik, mekanikal dan elektrikal serta Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). 

Katanya perkembangan positif ini termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

“Ia sekali gus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis NCIA kali Ke-29 di Putrajaya. Ia turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Ismail Sabri berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan turut memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

“NCIA bersama-sama kerajaan negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik,” katanya.

Dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, katanya NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER.

“Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Katanya pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. 

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata wilayah ini berada pada trajektori yang betul untuk mencapai sasaran dan terus menjadi destinasi pelaburan pilihan.

“NCIA memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik,” katanya.

Melalui pelbagai inisiatif NCIA yang bertujuan menyokong rakyat, komuniti perniagaan dan pelabur, selain dengan asas ekonomi yang kukuh dan ekosistem yang teguh, katanya wilayah ini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasarannya dari segi aliran masuk pelaburan dan penciptaan pekerjaan pada akhir 2022. - BERNAMA

Advertisement