Anda di sini

GTA kemuka permohonan pendaftaran RoS minggu depan

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) akan mengemukakan permohonan pendaftaran gerakan itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada minggu depan, kata Pengerusi Penaja GTA  Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata GTA ketika ini membincangkan mengenai pemilihan logo untuk proses pendaftaran tersebut.

"Kalau (RoS) tidak diluluskan permohonan, GTA ada plan B. Kita akan guna satu logo, satu bendera sahaja...dan kita akan perkenal bendera dan simbol kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Presiden GTA di sini hari ini.

Pada 4 Ogos lepas, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta terbuka kepada badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, ahli akademik serta profesional dalam kalangan kaum Melayu.

Dr Mahathir berharap proses pendaftaran akan berjalan lancar agar GTA dapat meletakkan calon di 120 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia khususnya yang mempunyai majoriti kaum Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Kita yakin bahawa perjuangan GTA adalah untuk kaum Melayu dan agama Islam. Inilah perjuangan kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata penubuhan GTA bukan bertujuan memecahbelahkan perpaduan kaum Melayu sebaliknya memperkasa dan mengembalikan kekuatan kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi. - BERNAMA 

Advertisement