Anda di sini

Anak kembar dua dan tiga antara kanak-kanak maut kebakaran gereja di Kaherah

Advertisement

KAHERAH: Rakyat yang berkabung di Mesir menghadiri upacara peringatan kelmarin bagi mangsa kebakaran gereja Koptik di Kaherah yang mengorbankan 41 nyawa — di kalangan mereka ramai kanak-kanak, termasuk anak kembar dua dan kembar tiga.

Kebakaran akibat litar pintas pada Ahad lepas berlaku di gereja Abu Sifin di Imbaba, sebuah daerah kelas bekerja di barat Sungai Nil, sebahagian daripada kawasan gabenor Giza di Kaherah.  

Sekurang-kurangnya 10 daripada mereka yang terkorban semasa misa Ahad, ketika keluarga berkumpul di gereja untuk sembahyang waktu pagi, adalah golongan bawah umur berusia bawah 16 tahun, menurut satu senarai dari sebuah hospital yang ditunjukkan oleh media tempatan.

Anggota keluarga meratap hiba semasa majlis pengebumian mangsa yang terbunuh dalam kebakaran gereja Koptik di Kaherah pada Ahad lepas. — Gambar AFP
Anggota keluarga meratap hiba semasa majlis pengebumian mangsa yang terbunuh dalam kebakaran gereja Koptik di Kaherah pada Ahad lepas. — Gambar AFP

Uskup Koptik Martyros mengetuai sembahyang “hari ketiga” kelmarin di Church of the Blessed Virgin Mary di tengah Kaherah bagi memperingati kebangkitan semula Kristus dan menghormati roh mereka yang meninggal dunia.

“Seluruh negara sedang berduka,” uskup memberitahu keluarga yang sedih, dua hari selepas kebakaran menggemparkan komuniti Koptik seramai 10 juta orang di Mesir, populasi Kristian terbesar di Timur Tengah.

Antara yang terkorban adalah enam anggota dari sebuah keluarga, seorang penduduk yang berkabung, Sandy George, memberitahu AFP.

“Ibu saudara saya Magda dan dua anak perempuannya, Merna dan Irina, dan tiga anak Irina meninggal dunia akibat kelemasan,” katanya.

Anak-anak Irina yang terkorban adalah kembar berusia lima tahun Barthinia dan Mariam serta adik lelaki mereka Ibram, berusia empat tahun.

Turut terkorban adalah anak kembar tiga berusia lima tahun Mehrael, Youssef dan Filopateer Bassem Amir, menurut senarai hospital.

Beratus-ratus orang menghadiri sembahyang selama tiga hari lagi di sebuah gereja berhampiran, untuk Father Abd al-Messih Bekheit dari gereja Abu Sifin, yang dilaporkan terkorban ketika cuba untuk menyelamatkan beberapa anggota kongregasinya. — AFP

Advertisement