Anda di sini

28 nelayan Vietnam mengaku ceroboh perairan negara didenda

Advertisement

KUCHING: Seorang tekong bot nelayan Vietnam didenda RM600,000, manakala 27 awak-awak didenda RM60,000 setiap seorang di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mereka mengaku bersalah memasuki perairan negara tanpa memaklumkan pihak berkuasa.

Hakim Afidah Abdul Rahman menetapkan tekong tersebut, Nguyen Truong Phong, 32, untuk dipenjara enam bulan, manakala 27 awak-awak yang berusia antara 22 dan 60 tahun itu dipenjara empat bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Tekong bot nelayan Vietnam dan awak-awak semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.
Tekong bot nelayan Vietnam dan awak-awak semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

Mengikut pertuduhan, kesemua nelayan Vietnam tersebut secara bersama didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimile dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia tentang nama, negara bendera, lokasi jalan dan destinasi bot tersebut, jenis dan jumlah ikan yang dibawa dan hal keadaan bot tersebut memasuki perairan perikanan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di atas sebuah bot ikan pada jarak 107.7 batu nautika dari Tanjung Sirik, Sarawak pada 20 Mac lalu, jam lebih kurang 11.30 pagi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) yang dibaca bersama Subseksyen 24 akta sama dan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta membabitkan tuan punya bot dan RM600,000 membabitkan kru jika sabit kesalahan.

Berdasarkan keterangan kes, pihak berkuasa maritim yang membuat rondaan menahan bot tersebut setelah mendapati ia berada dalam keadaan mencurigakan.

Pasukan rondaan menghampiri bot tersebut serta mendapati ia merupakan sebuah bot nelayan asing.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 28 individu dalam bot tersebut juga gagal memaklumkan pihak berkuasa Malaysia bahawa ia memasuki perairan negara dan ini bertentangan dengan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.

Sehubungan itu, beberapa peralatan turut dirampas daripada bot tersebut antaranya 20 tan ikan baja, 10 tan ikan campur, seunit mesin pemampat, seunit sistem kedudukan geografi (GPS), tiga unit pukat tunda serta bekalan diesel lebih kurang 7,000 liter.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Andin Linton.

  • oleh
  • Advertisement