Anda di sini

Tuchel dan Conte didakwa

Advertisement
Conte (kanan) dan Tuchel berjabat tangan dan mula berbalah selepas tamat perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Chelsea dan Tottenham Hotspur di Stamford Bridge, Ahad lalu. — Gambar AFP
Conte (kanan) dan Tuchel berjabat tangan dan mula berbalah selepas tamat perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Chelsea dan Tottenham Hotspur di Stamford Bridge, Ahad lalu. — Gambar AFP

LONDON: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel dan jurulatih Tottenham, Antonio Conte telah didakwa atas kelakuan tidak wajar selepas perkelahian hangat mereka ketika seri 2-2 Ahad lalu.

Tuchel dan Conte terlibat dalam dua pertelingkahan tatkala kemarahan memuncak dalam pertembungan Liga Perdana di Stamford Bridge.

Kedua-dua pengurus telah diberi kad kuning selepas perselisihan pertama, yang tercetus selepas Conte meraikan gol penyamaan Pierre-Emile Hojbjerg berhampiran kawasan teknikal Tuchel.

Tuchel dan Conte bertelagah lagi semasa pasangan itu berjabat tangan dengan agresif, menyebabkan kedua-duanya dilayangkan kad merah, mencetuskan lagi adegan hodoh melibatkan pemain dan kakitangan kejurulatihan dari musuh London itu.

“Kedua-dua Thomas Tuchel dan Antonio Conte telah didakwa kerana melanggar Peraturan FA E3, berikutan perlawanan Liga Perdana antara Chelsea FC dan Tottenham Hotspur FC pada Ahad 14 Ogos 2022,” kata kenyataan FA pada Isnin.

“Diputuskan bahawa tingkah laku kedua-dua pengurus selepas tamat perlawanan adalah tidak wajar. Thomas Tuchel dan Antonio Conte diberi masa sehingga Khamis 18 Ogos 2022 untuk memberikan maklum balas masing-masing.”

Tuchel juga boleh menghadapi pertuduhan lanjut daripada FA, yang sedang menyiasat komennya mengenai pengadil Anthony Taylor selepas perlawanan.

Tuchel berkata “mungkin lebih baik” sekiranya Taylor tidak mengadili Chelsea lagi, dengan jurulatih Jerman itu marah dengan kedua-dua gol Tottenham.

Dia merasakan gol Hojbjerg sepatutnya tidak dibenarkan kerana ofsaid ke atas Richarlison, serta kekasaran terhadap Kai Havertz beberapa detik sebelum itu.

Tuchel juga menegaskan bahawa pemain pertahanan Tottenham, Cristian Romero sepatutnya dihukum kerana menarik rambut Marc Cucurella, dengan rujukan video bantuan pengadil (VAR) menafikan kad merah untuk insiden itu, yang berlaku sejurus sebelum Harry Kane menanduk masuk gol penyamaan pasukan pelawat pada masa kecederaan.

Kedua-dua pengurus mungkin digantung akibat telatah mereka, dengan Tuchel sudah mengakui dia mungkin tidak akan hadir di garisan tepi semasa Chelsea menentang Leeds pada hujung minggu depan.

“Jadi, bagus! Saya tidak boleh melatih tetapi pengadil boleh meniup wisel di perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan Tottenham.

Pertembungan pasukan jiran London itu, yang menampilkan beberapa siri terjahan agresif daripada pemain kedua-dua pasukan, digelar ‘Pertempuran Jambatan Bahagian 2’ merujuk kepada pertemuan yang sama ganas antara pasukan-pasukan London itu pada 2016. — AFP 

Advertisement