Anda di sini

Persidangan Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO penting untuk hadapi PRU-15: Bung

Advertisement
BUNG MOKTAR RADIN
BUNG MOKTAR RADIN



KOTA KINABALU: Persidangan Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di seluruh negara yang membuka tirainya pada Isnin lepas dan berakhir pada 18 September ini menjadi platform penting bagi parti politik terbesar Melayu dan Bumiputera untuk memperkukuhkan solidariti dan pada masa sama mengatur strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.


Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar) berkata persidangan di peringkat cawangan merupakan medan yang amat penting bagi mengukuhkan parti, justeru semua ahli perlu bersatu hati memberikan komitmen yang tinggi untuk menjayakan mesyuarat di peringkat cawangan.


"Selamat bersidang kepada semua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara bermula hari ini (Isnin) sehingga 18 September ini.


"Pemimpin dan ahli parti di peringkat akar umbi perlu memahami persidangan kali ini merupakan medan yang amat penting untuk membincangkan agenda parti terutama dalam menghadapi PRU ke-15, " katanya dalam perutusan yang dikeluarkan di sini sempena mesyuarat cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.


Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ahli-ahli parti perlu membulatkan tekad, semangat dan bersatu hati agar parti keramat UMNO, sentiasa menjadi tunjang rakyat demi menjunjung kepentingan agama, bangsa dan negara tercinta.


Bung berkata, berlatar belakang cabaran yang UMNO dan Barisan Nasional (BN) lalui selepas kekalahan dalam PRU lepas dan cabaran mendatang dari dalam dan luar parti serta pelbagai isu yang membelenggu rakyat, mesyuarat cawangan kali ini perlu menangani segala permasalahan yang timbul bagi membentuk mentaliti menang demi mengembalikan BN ke era kegemilangan.


Tambah Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan mentaliti semangat menang perlu dibentuk dalam diri setiap anggota parti.


"Perkara yang penting sekarang dalam UMNO, kita kena bersatu. Kena bersiap sedia untuk pilihan raya umum akan datang, rumah tangga kita perlu diperbetulkan.


"Cakna kepada ahli di peringkat akar umbi, dekati mereka. Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri anjurkan program yang boleh merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli," tambah Bung.


Mengenai persediaan untuk menghadapi PRU ke-15, Bung memberitahu, UMNO tidak boleh bergerak bersendirian justeru ia perlu melibatkan parti-parti komponen BN yang ada di bahagian masing-masing.


Walaupun bilangan ahlinya jauh lebih kecil dari UMNO kata Bung, namun penglibatan parti komponen BN dalam konsep kerja berpasukan penting untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam (PRU) ke-15 akan datang.


"Seharusnya jawatankuasa BN sudah di bentuk dari sekarang  di semua bahagian, jawatankuasa kerjanya sudah disusun. UMNO walaupun satu komponen terbesar di sesuatu bahagian tapi sumbangan parti lain dari komponen BN perlu dilibatkan bersama," tegas Bung.

  • oleh
  • Advertisement