Anda di sini

Penduduk Ranau diminta kibar bendera Malaysia dan Sabah

Advertisement
 Abidin (lima kiri) bersama jemputan lain pada majlis tersebut.
HADIR: Abidin (lima kiri) bersama jemputan lain pada majlis tersebut.

RANAU: Penduduk di daerah ini khususnya pemilik premis diminta agar mengibarkan bendera Malaysia dan Sabah bagi menunjukkan semangat patriotisme kepada negara.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, semua rakyat harus bersyukur atas kemamuran negara yang dikecapi selama ini.

“Semua rakyat di negara ini perlu bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini kerana kita boleh hidup dalam suasana yang harmoni, aman dan sejahtera.

“Kita sepatutnya menghargai dan berterima kasih kepada para pemimpin dan pejuang terdahulu kerana mereka berjaya menuntut kemerdekaan daripada kerajaan British,” katanya.

Beliau yang juga Ahili Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Daerah Ranau, di sini semalam.

Katanya, generasi muda perlu mengambil iktibar dan menghargai kemerdekaan ini supaya mereka tahu pengorbanan pejuang terdahulu.

Sementara itu, ketua rombongan Kembara Merdeka, Mohd Rizal Mohd Yunus berkata, sambutan ini adalah program tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah.

Namun, katanya, penganjuran kali ini sangat istimewa kerana ia dapat dilaksanakan setelah tertangguh akibat berlakunya penularan wabak COVID-19.

“Pelancaran Kembara Merdeka ini telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Padang Bandaran Kota Kinabalu pada 31 Julai lepas.

“Program ini akan merentasi enam zon di 25 daerah seluruh negeri bermula 9 hingga 19 Ogos depan bertujuan untuk menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah, Jumain Abd Gani dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JaPen Sabah, Busmin Brahim.

  • oleh
  • Advertisement