Anda di sini

Lelaki mengaku bersalah cederakan lelaki lain didenda RM1,500

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki lain awal bulan ini. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga menetapkan tertuduh, Arif Fadillah Meral, 26, untuk dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dalam satu kejadian pada 4 Ogos lalu, sekitar jam 11.30 pagi di sebuah syarikat kitar semula di Jalan Stephen Yong, Jalan Batu Kawa di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Mengikut keterangan kes, tertuduh bersama dua rakannya hendak menjual sebuah penggiling (grinder) kepada mangsa namun mangsa enggan membelinya susulan ia masih baharu.

Tertuduh bersama rakan-rakannya meninggalkan pusat kitar semula itu dan tidak lama selepas itu mereka datang semula sambil berkata ‘apa pandang-pandang’ terhadap mangsa.

Salah seorang daripada lelaki tersebut kemudiannya tiba-tiba bertindak memukul bahagian belakang kanan kepala dan bahagian paha mangsa.

Susulan itu, mangsa yang mengalami kecederaan iaitu bengkak di bahagian kepala dan paha seterusnya mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak. 

Laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada 13 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

Advertisement