Anda di sini

Lelaki leka seleweng barang kawalan bernilai RM128,750 ditahan

Advertisement
 Kegiatan penyelewengan barang kawalan minyak diesel bersubsidi yang dikesan semasa serbuan di Kampung Biah di sini.
SELEWENG: Kegiatan penyelewengan barang kawalan minyak diesel bersubsidi yang dikesan semasa serbuan di Kampung Biah di sini.

KENINGAU: Tindakan seorang lelaki yang leka menjalankan kegiatan menyeleweng barang kawalan membawa padah selepas ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah dalam satu operasi serbuan di sini.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata serbuan bagi menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan minyak diesel bersubsidi dijalankan kira-kira jam 7.45 pagi di Kampung Biah di sini.

“Bertindak dengan maklumat risikan selama dua hari di kawasan terbabit, pasukan serbuan kemudiannya mengesan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi itu yang leka memindahkan barang kawalan semasa serbuan dilaksanakan.

“Berdasarkan keterangan awal, pekerja tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata pihaknya kemudian menemukan 5,000 liter minyak diesel di dalam lori tangki dan tong drum yang dipercayai untuk dijual kepada pihak industri.

“Pasukan serbuan juga mengesan alat-alat yang dipercayai digunakan untuk kegiatan menyeleweng termasuk tiga buah lori beserta tong drum dan skid tank.

“Kesemua barangan bernilai RM128,750 dirampas manakala suspek turut ditahan dan diambil keterangan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Georgie berkata kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen. 

“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukkan mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

“Sekiranya sesebuah syarikat  disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Tambahnya kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

“KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan terhadap semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian untuk usaha membanteras kegiatan ini dengan lebih menyeluruh,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement