Anda di sini

25 rang undang-undang diluluskan sidang Parlimen kali ini

Advertisement
PUTRAJAYA: Sidang Parlimen kali ini mencatatkan pencapaian yang membanggakan apabila 25 Rang Undang-Undang diluluskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata 25 Rang Undang-undang yang diluluskan itu berkait rapat dengan kestabilan negara, ekonomi dan kebajikan rakyat, serta melibatkan beberapa aspek antaranya kewangan, pertanian, industri makanan, jenayah dan kehakiman.

"Semua Rang Undang-undang yang diluluskan akan menjalani proses yang sewajarnya sebelum ia dapat dikuatkuasakan melalui undang-undang dan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari bermula 18 Julai hingga 4 Ogos manakala persidangan Dewan Negara selama enam hari dari 8 Ogos hingga 16 Ogos. 

Katanya antara undang-undang yang dianggap mempunyai kepentingan kepada rakyat dan negara adalah  Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Larangan Ahli Bertukar Parti, yang turut diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Turut diluluskan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Antigangguan Seksual 2021 dan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang melibatkan bidang kuasa pelbagai kementerian.

Wan Junaidi berkata sembilan usul dibahaskan ke Dewan Rakyat dan hanya satu usul sahaja yang telah dibahas di Dewan Negara iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Dewan Negara pada 27 Julai lepas. - BERNAMA

Advertisement