Anda di sini

Polis tahan lelaki cabut batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim

Advertisement

SIBU: Polis menahan seorang gelandangan lelaki pada Isnin yang disyaki terlibat dalam kes khianat mencabut beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim di sini yang telah menggemparkan masyarakat Muslim di bandar ini.

Perbuatan mencabut nisan itu tular di dalam media sosial sejak Ahad apabila terdapat waris-waris yang mendakwa nisan di kubur ahli keluarga mereka telah dicabut selepas memeriksa sendiri keadaan di tanah perkuburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata pada jam 1.21 tengah hari polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang memaklumkan batu nisan kubur bapa beliau telah dicabut dari kedudukan asal.

“Hasil siasatan pihak polis, jam lebih kurang 3.00 petang, seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun disyaki terlibat dalam kejadian ini telah ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin malam.

Batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim yang dicabut oleh seorang lelaki.
Batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim yang dicabut oleh seorang lelaki.

Beliau berkata suspek yang didapati mempunyai rekod jenayah itu diberkas di tanah perkuburan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan berhubung tindakan suspek mencabut batu nisan di tanah perkuburan. - BERNAMA

Advertisement