Anda di sini

KPDNHEP Miri kompaun empat kes kesalahan peniaga

Advertisement

MIRI: Empat kompaun membabitkan nilai RM1,400 dikeluarkan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri menerusi satu operasi di bandar raya ini, baru-baru ini.

Ketua KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil berkata satu kes membabitkan sebuah premis kerana kerana menjual harga ayam melebihi harga kawalan seperti termaktub di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. Pemilik premis dikenakan kompaun RM500.

Dua kes membabitkan peniaga di Pasar Muhibbah kerana gagal meletakkan label berwarna merah jambu ke atas barangan kawalan iaitu telur ayam gred B dan C. Dua kesalahan berkenaan dikenakan kompaun RM200 setiap satu.

Satu lagi kes membabitkan kesalahan jualan murah tanpa kebenaran yang membawa kepada kompaun RM500.

Penguatkuasa KPDNHEP Miri melakukan pemeriksaan harga barangan menerusi satu operasi, baru-baru ini.
Penguatkuasa KPDNHEP Miri melakukan pemeriksaan harga barangan menerusi satu operasi, baru-baru ini.

Operasi tiga hari itu bermula 12 hingga 14 Ogos.

“Operasi pemantauan barangan itu dijalankan oleh lima orang pegawai KPDNHEP Miri bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barang atau melakukan kesalahan di bawah akta diwarta kerajaan.

“Peniaga yang sengaja menaikkan harga tanpa alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi berlebihan, akan dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011,” katanya kepada Utusan Borneo pada Selasa.

Sekiranya terdapat barangan kawalan yang dijual melebihi harga maksimum, orang awam boleh melaporkan ke Pejabat KPDNHEP Cawangan Miri ditalian 085-412862 atau website eAduan.kpdnhep.gov.my

Advertisement