Anda di sini

KKM sasar 10 juta rakyat kekal sihat 10 tahun akan datang

Advertisement
Khairy ketika sidang media selepas Dialog Polisi 'The Future of Our Healthcare' sempena Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Gambar BERNAMA
Khairy ketika sidang media selepas Dialog Polisi 'The Future of Our Healthcare' sempena Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 juta rakyat Malaysia kekal sihat dalam tempoh 10 tahun akan datang dan cadangan itu dimasukkan dalam Kertas Putih Kesihatan yang dijangka dibentang di Parlimen pada Disember ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata cadangan itu antara fokus utama Kertas Putih Kesihatan dari segi kualiti perkhidmatan.

“Jadi tema besar adalah bagaimana kita dapat mewujudkan satu sistem, sistem yang ada kualiti perkhidmatan dan sistem yang ada langkah-langkah pencegahan yang dapat memastikan 10 juta rakyat kita kekal sihat dalam tempoh masa 10 tahun.

“Kita ambil angka tersebut sebab melalui perkiraan kasar kita, sejumlah sejuta rakyat Malaysia jatuh sakit setiap tahun disebabkan penyakit yang sebenarnya dapat dielakkan,” katanya pada sidang media selepas menjadi antara panel sesi Dialog Polisi ‘The Future of Our Healthcare’ sempena Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan itu bermaksud 10 juta rakyat Malaysia tidak akan dirujuk ke hospital akibat kencing manis, sakit jantung, hipertensi, kolesterol tinggi dan sebagainya.

Semalam, Khairy berkata Kertas Putih Kesihatan itu sepatutnya adalah satu pernyataan mengenai aspirasi kolektif rakyat tentang cara untuk menjadikan sistem kesihatan negara lebih mampan dan berdaya tahan menerusi pemikiran ‘menyeluruh kerajaan’ dan ‘menyeluruh masyarakat.’

Pada sesi dialog hari ini, Khairy berkata KKM juga perlu mencari dana bagi membiayai cadangan yang dikemukakan dalam Kertas Putih Kesihatan selain mengetahui cara mengurus dana itu dengan baik.

Beliau berkata Kertas Putih Kesihatan itu juga memerlukan penelitian dari segi governans iaitu mewujudkan langkah dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dapat dilaksana secara lebih efisien.

“Contohnya, bagaimana kita dapat turunkan kuasa supaya lebih kebebasan diberi kepada hospital awam kerana banyak sangat pemusatan kuasa di KKM, bagaimana kita dapat turunkan kuasa dan tanggungjawab, akauntabiliti kepada pengarah hospital awam,” katanya.

Khairy juga berkata beliau telah melantik sebuah majlis penasihat untuk proses libat urus berkaitan Kertas Putih Kesihatan yang akan dipengerusikan bekas Menteri Kesihatan Tan Sri Dr S. Subramaniam dan Pengerusi Axiata Group Bhd Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan. - BERNAMA

Advertisement