Anda di sini

Jangan sekat demokrasi dalam UMNO

Advertisement
 Bung (kiri) diiringi Abd. Rauf sejurus tiba ke majlis tersebut.
MESRA: Bung (kiri) diiringi Abd. Rauf sejurus tiba ke majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Para pemimpin UMNO di semua peringkat diingatkan supaya tidak menyekat mana-mana cawangan untuk bergerak aktif.

Ahli majlis tertinggi UMNO Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, jangan juga ada pihak menyekat golongan muda serta profesional menyertai UMNO.

"Terdapat beberapa kes di beberapa bahagian yang menyekat cawangan-cawangan UMNO mengadakan mesyuarat perwakilan cawangan dan mengadakan aktiviti kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan bahagian.

"Perkara ini ada berlaku di beberapa bahagian disebabkan pemimpin cawangan tidak menyokong kepimpinan Ketua UMNO Bahagian.

"Ia menyebabkan cawangan tersisih dan tidak dapat mengadakan mesyuarat cawangan dan disekat hanya kerana ingin memperkukuhkan kedudukan sebagai Ketua bahagian," katanya ketika berucap merasmikan program Retreat UMNO Melaka di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Abd. Rauf Yusoh dan Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, perbuatan menyekat cawangan-cawangan yang tidak seteru ini bukanlah satu amalan demokrasi sihat, sebaliknya boleh menjejaskan kekuatan parti.

"Alhamdulillah di Sabah, saya belum menerima laporan kes seperti ini, bagaimanapun sekiranya berlaku...tindakan tegas akan dikenakan termasuklah mengantung bahagian berkenaan," katanya.

Bung berkata, pemimpin UMNO perlu mengubah persepsi berkenaan dan memberi keutamaan untuk memperkukuhkan parti demi kepentingan negara.

Beliau juga mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak menjadikan ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat cawangan dan golongan muda, profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan parti itu sendiri.

Menurutnya, jika kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan sentiasa bekerja keras menjalankan kerja-kerja parti, mereka tidak perlu gusar akan kehilangan jawatan kerana anggota akan terus menyokong mereka.

Mengulas program Retreat UMNO Melaka yang memilih Sabah sebagai lokasi program, Bung berharap pemukiman tersebut akan dapat memberikan sumber inspirasi baharu kepada pemimpin UMNO Melaka untuk memperkukuhkan parti.

"Kita telah mengembalikan maruah UMNO dengan kemenangan besar semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, solidariti perjuangan ini perlu terus dipertingkatkan.

"Saya beharap pemilihan Sabah sebagai lokasi program ini akan memberikan idea baharu kepada pemimpin UMNO Melaka, kerana UMNO Sabah mempunyai sejarah perjuangan yang berliku selepas PRU Ke-14 kerana ditinggalkan ramai pemimpin," katanya.

Bagaimanapun katanya, Sabah masih mempunyai pemimpin UMNO yang teguh dengan prinsip perjuangan. Ia dapat dilihat selepas bangkit semula dengan kemenangan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis dan PRN Sabah ke-16.

Katanya, sehingga kini UMNO masih bertapak di Sabah walaupun wujud pihak mendakwa parti berkenaan akan terkubur selepas PRU ke-14.
 

  • oleh
  • Advertisement