Anda di sini

Dua remaja lelaki curi fon telinga dicari

Advertisement
 Rakaman CCTV yang menunjukkan suspek memasukkan kotak fon telinga ke dalam beg sandang.
CURI: Rakaman CCTV yang menunjukkan suspek memasukkan kotak fon telinga ke dalam beg sandang.

KOTA KINABALU: Polis giat mengesan dua remaja lelaki yang melarikan fon telinga di sebuah premis perniagaan di dalam pusat beli belah Jalan Tun Fuad Stephens di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian pada 12 Ogos itu hanya disedari kira-kira jam 2 petang 15 Ogos lalu.

Katanya kejadian kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah premis menjual barangan serta aksesori telefon.

“Kejadian disedari selepas pihak kedai menjalankan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan remaja berkenaan memasukkan kotak fon telinga di dalam beg sandangnya.

“Semasa kejadian itu juga, seorang lagi individu dipercayai rakan suspek berdiri di hadapan suspek bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan kakitangan kedai sebelum kedua-duanya beredar meninggalkan premis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata kejadian menyebabkan kerugian sebanyak RM1,098.

Tambahnya pihaknya giat menjalankan operasi mengesan suspek dan kes dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM10,000 selepas premis perniagaan miliknya di Alamesra dipecah masuk kira-kira jam 9 pagi 15 Ogos lalu.

Zaidi berkata semasa kejadian terbabit mangsa kehilangan seunit komputer riba, sebuah peti sejuk, mesin pencetak, peralatan tulis dan makanan ringan. 

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Seorang lagi suspek turut dikesan selepas memecahkan sebuah kenderaan yang diletakkan di lot parkir awam berhampiran sebuah hotel di Jalan Segama kira-kira jam 6.30 pagi hari sama.

“Suspek melarikan seunit komputer riba dengan anggaran kerugian sebanyak RM1,500 dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement