Anda di sini

Christina sokong cadangan pembangunan Tawau

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew mengalu-alukan rancangan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk memperkasakan pembangunan di Tawau sebagai bandar sempadan.

Ahli Parlimen Tawau itu berkata, usaha itu akan membawa manfaat penuh kepada bandar berkenaan memandangkan ibu kota Indonesia bakal berpindah ke Kalimantan Timur tidak lama lagi.

"Kini adalah masa sesuai melaksanakan rancangan itu, kalau bukan sekarang bila lagi? dalam soal ini, kami berharap kerajaan bersungguh-sungguh untuk merealiasikan perkara ini.

"Pengumuman Menterinya Datuk Seri Panglima Masidi Manjun sememangnya benar kerana Tawau kini mempunyai kemudahan asas seperti lapangan terbang, jalan raya dan bekalan air.

"Bagaimanapun, kemudahan sedia ada kini sangat memerlukan usaha naik taraf segera," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, masalah seperti bekalan air sudah lama diperkatakan sejak Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) lagi. 

Hari ini katanya, sudah sampai Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) tetapi perbincangan mengenai masalah yang sama masih berlanjutan tanpa ada sebarang jalan penyelesaian.

"Kita juga difahamkan Empangan Tawau yang dilancarkan pada 2017 dijadualkan siap sepenuhnya pada 2024.

"Selain itu, naik taraf Hospital Tawau yang diumumkan pada Rancangan Malaysia ke-11 juga masih sedang pembinaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

"Rakyat dijanjikan bahawa naik taraf hospital berkenaan siap pada hujung tahun ini. Rangkaian laluan darat serta udara negeri ini juga perlu diperkasakan untuk meneroka potensi ekonomi yang lebih besar dalam pembangunan pesat Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA)," katanya.
 
Mantan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu juga menjelaskan bahawa cadangan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) sangat penting di Serudong, Kalabakan untuk pengawalan sempadan negara.
 
Oleh itu katanya, cadangan jalan Kalabakan-Serudong yang akan menghubungkan laluan Simanggaris Kalimantan perlu direalisasikan untuk membangunkan lagi ekonomi Malaysia di sempadan.
 
Selain itu, Christina juga secara konsisten bersuara mahukan naik taraf Lapangan Terbang Tawau kepada status antarabangsa sejak 2018.

Katanya, pada Mac 2019 beliau telah mengetuai satu delegasi untuk bertemu dengan Menteri Pengangkutan mengenai cadangan berkenaan, memandangkan Tawau diutamakan dalam senarai diantara enam lapangan terbang dalam negara yang perlu dinaik taraf dan dibangunkan.

"Pada Jun lepas, saya sekali lagi menyeru kerajaan persekutuan untuk mengkaji semula permohonan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau," katanya.

  • oleh
  • Advertisement