Anda di sini

30 peratus premis di Malaysia tiada FC

Advertisement
 

GEORGE TOWN: Sebanyak 30 peratus daripada 8,300 premis di seluruh negara masih tidak mempunyai sijil perakuan bomba (FC) yang diperuntukkan mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (pindaan 2020) (Akta 341).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata ia berikutan sama ada bangunan berkenaan masih belum diluluskan, dalam proses pematuhan atau gagal memenuhi kehendak kebombaan mengikut akta tersebut.

"Dalam pemeriksaan pihak JBPM di seluruh negara membabitkan 8,300 premis meliputi bangunan kerajaan, industri, komersial, pusat beli-belah, hotel dan pejabat, kami mendapati 70 peratus daripadanya telah memperoleh FC manakala selebihnya sedang dalam proses mendapatkannya.

“Pemilik bangunan perlu memberikan perhatian serius terhadap keperluan FC… kita tidak mahu aspek keselamatan terabai yang boleh meragut nyawa penghuni atau pengunjung premis selain kehilangan nilai aset yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 JBPM Pulau Pinang di sini hari ini.

Pada majlis itu, 61 individu menerima APC manakala dua pegawai diberikan sijil 30 tahun perkhidmatan serta sijil kepada pesara bomba yang menamatkan perkhidmatan pada tahun lepas.

Mohammad Hamdan berkata semua bangunan itu perlu diperiksa dan diuji tahap keselamatan bagi mendapatkan perakuan yang diperbaharui setiap tahun selari dengan kehendak Akta Bomba dan Penyelamat 1988.

Beliau berkata sekiranya pemilik bangunan masih gagal memastikan premis memperoleh FC seperti ditetapkan menerusi Akta 341, mereka boleh didenda sehingga RM50,000 atau tiga tahun penjara.

"Bangunan itu seharusnya mempunyai risiko kebakaran yang melepasi tahap tertentu diklasifikasikan di bawah Akta 341 dan ia penting jika berlaku sebarang kecemasan di premis, ia boleh dicegah atau dikawal di peringkat awal selain tidak menyebabkan kerosakan atau kemudaratan yang teruk.

"Akta 341 bukan bertujuan untuk menghukum pemilik premis sebaliknya untuk memastikan keselamatan premis daripada sebarang risiko kebakaran," katanya.

Mohammad Hamdan berkata bagi Pulau Pinang, sebanyak 609 daripada 731 premis telah memperoleh FC manakala bakinya seperti kilang, hotel serta lain-lain bangunan masih dalam proses permohonan," katanya. - BERNAMA 

Advertisement