Anda di sini

Warga emas melecur dalam kebakaran

Advertisement
 Pasukan bomba membuat pemeriksaan akhir terhadap rumah yang musnah terbakar tersebut.
MUSNAH: Pasukan bomba membuat pemeriksaan akhir terhadap rumah yang musnah terbakar tersebut.

KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas terpaksa dikejarkan ke hospital akibat melecur selepas rumahnya terlibat dalam kebakaran di Kampung Narinang, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berumur 65 tahun berjaya keluar menyelamatkan diri, namun mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.14 pagi.

“Susulan itu, seramai 10 anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal sudah terbakar keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Katanya, mangsa yang melecur telah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Kota Belud menggunakan kereta EMRS.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.55 pagi.

“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement