
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengarahkan seorang remaja lelaki berusia 20 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo dekat sini atas tiga pertuduhan melakukan ugutan jenayah ke atas kakaknya dan khianat.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali membuat keputusan itu ke atas pesalah muda tersebut setelah meneliti laporan sosialnya hari ini.
Tertuduh akan ditempatkan di sekolah tersebut sehingga dia berusia 21 tahun.
Bagi pertuduhan pertama, di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dia melakukan ugutan jenayah terhadap kakaknya yang berusia 38 tahun dengan mengugut menyebabkan kematiannya.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia melakukan khianat dengan memecah tujuh keping cermin tingkap dan merosakkan sebuah pintu milik ibunya yang menyebabkan mangsa kerugian RM120.
Bagi pertuduhan ketiga pula, dia melakukan khianat dengan membakar sebuah meja makan plastik milik kakaknya menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM100.
Pertuduhan pertama dan kedua dibicara di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di rumah keluarganya di Kampung Sudat di Batu 4 1/2, Jalan Penrissen dekat sini pada 26 Jun 2022 sekitar jam 3.30 petang.
Berdasarkan fakta kes, kakak tertuduh yang merupakan pengadu, bertanya kepada tertuduh mengenai telefonnya, menyebabkan dia marah dan membaling dua meja kopi di dalam rumah, memecah cermin tingkap di dapur dan memukul pintu sehingga pecah.
Bukan itu sahaja, tertuduh bertindak membakar sebuah meja makan plastik milik kakaknya dan kerana bimbang dengan keselamatan semua orang, satu laporan polis dibuat.
Tertuduh kemudiannya ditangkap pada 27 Jun 2022 sekitar jam 11 pagi.
Siasatan juga mendapati tertuduh mengamuk sambil memegang pisau pemotong dan mengacukan pisau kepada kakaknya, mengancam mahu membunuhnya sebelum dia melakukan kesalahan khianat.
Pendakwaan kes dilakukan Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.