Anda di sini

Swasta, NGO bantu atasi masalah sampah di laut

Advertisement
CHRISTOPHER
CHRISTOPHER

SEMPORNA: Sampah dan pantai sememang sudah sebati dan tidak dapat dipisahkan kerana sepanjang perairan di negeri ini menghadapi masalah yang sama sejak dari dahulu lagi.

Masalah ini seolah-olah sukar dibendung dan lebih memalukan lagi sampah juga turut kelihatan di kawasan pelancongan seperti di daerah ini.

Sampah telah mecacatkan pemandangan lokasi pelancongan di negeri ini, malah berpotensi menjadi penyebab kepupusan hidupan marin seperti penyu, ikan, terumbu karang dan banyak lagi.

Banyak program gotong-royong dan kempen kesedaran terhadap pentingnya menjaga kebersihan telah dibuat oleh kerajaan bersama badan bukan kerajaan (NGO), namun ia masih belum boleh mengatasi masalah ini secara tuntas.

Pada Khamis lepas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun telah melancarkan ‘projek perkhidmatan pemungutan sampah’ di perairan pekan Semporna, sebagai usaha membersihkan pantai di daerah ini.

Projek yang pertama kali diadakan itu, telah menunjukkan tanda positif terhadap kebersihan di pantai daerah Semporna ketika ini.

Masidi memuji inisiatif yang dimainkan oleh Pejabat Daerah Semporna bersama syarikat swasta Amwil Deslen Management & Supplies dan NGO, kerana berjaya mengurangkan masalah sampah di daerah ini.

Beliau turut mencadangkan supaya daerah ini menggunakan slogan ‘Semakin Hari Semakin Sayang’ supaya penduduk lebih mencintai daerah mereka.

Utusan Borneo berkesempatan mendekati syarikat Amwil Deslen Management & Supplies yang bertindak menjalankan projek itu sehingga berjaya mengurangkan masalah sampah di daerah ini.

 Antara sampah-sampah yang berjaya dikumpul dari sekitar rumah persisir pantai.
BERJAYA: Antara sampah-sampah yang berjaya dikumpul dari sekitar rumah persisir pantai.

Pengurus Besar Amwil Deslen Management & Supplies, Christopher Chin berkata projek ini adalah inisiatif pihaknya untuk menyahut saranan kerajaan dalam menjaga ekosistem dan hidupan marin di laut.

Katanya, projek ini telah dijalankan sejak Julai tahun lalu dan yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia bagi usaha membersihkan kawasan pantai.

“Daerah Semporna adalah lokasi pertama untuk menjalankan projek ini kerana ia sinonim dengan destinasi pelancongan berasaskan laut paling terkenal di dunia.

“Siapa tidak kenal pulau-pulau di daerah Semporna, sehingga ia antara destinasi popular para penyelam di seluruh dunia kerana keunikan hidupan marinnya,” katanya.

Menurutnya, syarikat ini menjalankan aktiviti harian dengan memungut semua sampah di laut termasuk di persisir pantai, sebelum dipilih bahan yang boleh dikitar semula.

“Seramai 34 orang pekerja dan sembilan bot kecil digunakan untuk menjalankan projek tersebut, selain mendapat kerjasama daripada NGO dan penduduk setempat.

“Kami juga membeli sampah yang boleh dikitar semula daripada penduduk setempat iaitu RM0.20 sen setiap sekilo gram untuk semua jenis sampah yang boleh dikitar semula.

“Semua sampah itu kemudiannya, di keringkan dan dimampatkan serta dijual kepada sebuah syarikat yang membeli bahan kitar semula di daerah Tawau,” katanya.

Katanya, projek ini juga untuk memberi kesedaran dan menukar pemikiran masyarakat khususnya yang tinggal di persisir pantai bahawa sampah boleh menjana pendapatan.

Selain itu, katanya, syarikat sudah kerap menjalankan kerjasama dengan beberapa NGO seperti Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Green Semporna dan banyak lagi.

“Terbaharu, kami sudah mengadakan program gotong-royong di Pulau Larapan dan berjaya mengutip 1.5 tan sampah di kawasan tersebut,” katanya.

“Kami juga merancang untuk mengadakan kempen-kempen di sekolah untuk memberi pengetahuan kepada generasi muda terhadap kepentingan menghargai laut dan hidupan marin,” katanya.

 Pekerja syarikat tersebut menjalankan aktiviti memungut sampah di persisir pantai setiap hari.
AKTIVITI: Pekerja syarikat tersebut menjalankan aktiviti memungut sampah di persisir pantai setiap hari.

Christopher berkata selama setahun beroperasi, pihaknya telah berhasil mengumpul kira-kira lebih 400 tan sampah kitar semula iaitu purata 40 tan sebulan.

“Pencapaian ini sangat memberangsangkan, malah kesedaran masyarakat persisir pantai termasuk penduduk tanpa negara (Pala’uh) semakin tinggi untuk memungut sampah di laut.

“Syarikat juga bercadang untuk menjalankan projek ini di daerah-daerah lain seperti Tawau, Kunak dan Lahad Datu pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, Amwil Deslen Management & Supplies juga mempunyai perancangan untuk membina sebuah kilang memproses bahan kitar semula supaya semua sampah yang kutip dapat diproses sendiri.

“Dengan adanya kilang itu kelak, syarikat dapat membeli sampah kitar semula daripada penduduk setempat dengan harga yang tinggi, sekali gus mereka boleh menjana pendapatan yang banyak.

“Kami menyasarkan dalam jangka masa dua tahun lagi, kilang yang dicadangkan dibina di daerah Lahad Datu itu dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement