Anda di sini

Skuad bola sepak SUKMA Sabah, adakan dua perlawanan persahabatan di ibu negara

Advertisement
 David (duduk tiga kiri) bersama skuad bola sepak SUKMA Sabah.
ALBUM: David (duduk tiga kiri) bersama skuad bola sepak SUKMA Sabah.



KOTA KINABALU: Skuad bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah merancang mengadakan dua perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur sebelum menghadapi kejohanan sebenar dijangka pada 12 September ini.


Skuad yang mengandungi 23 pemain dan tujuh pegawai itu akan berlepas lebih awal ke Kuala Lumpur pada 1 September ini.


Jurulatih pasukan, Adzrien Harun berkata, perlawanan persahabatan itu merupakan persiapan terakhir Sabah bagi memastikan pasukan lebih bersedia untuk menggalas cabaran menghadapi saingan dalam acara bola sepak.


Menurut beliau, pasukannya hanya mempunyai masa tiga minggu menjalani latihan termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sini sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.


"Rata-rata pemain SUKMA Sabah baru sahaja selesai menghadapi perlawanan dalam Liga Piala Presiden dan selepas itu mereka meneruskan latihan untuk persiapan menghadapi SUKMA kali yang ke-20 ini," katanya pada majlis penyerahan peralatan kelengkapan sukan kepada pemain dan pegawai pasukan di pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini, pagi ini.

 David menyampaikan kasut bola dan pakaian sukan kepada salah seorang pemain sambil diperhatikan Adzrien (kanan sekali).
SAMPAIKAN: David menyampaikan kasut bola dan pakaian sukan kepada salah seorang pemain sambil diperhatikan Adzrien (kanan sekali).


Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom yang juga ketua kontinjen bola sepak Sabah menyerahkan alat-alat kelengkapan sukan itu kepada pemain dan pegawai pasukan.


Adzrien memberitahu, pihaknya sedang mengenal pasti pasukan yang bakal mereka hadapi dalam perlawanan persahabatan tersebut.


"Setakat ini, kami sedang mengenal pasti dua pasukan tersebut," ujarnya.


Beliau berkata, perlawanan persahabatan itu penting bagi pasukannya sebagai persediaan terakhir sebelum menghadapi kejohanan sebenar.


Katanya, pengundian bagi menentukan kumpulan pasukan akan diputuskan pada 20 Ogos ini.


Lima venue yang akan digunakan untuk acara bola sepak ialah Stadium UiTM Shah Alam, Stadium Arena Universiti Malaya, Stadium KLFA dan Stadium Uniten Banggi.


Sebelum ini, Pengurus pasukan bola sepak SUKMA Sabah, Mohd Khairul Nizaem Moktar meletakkan sasaran pingat emas dalam acara bola sepak di SUKMA kali ini.


Empat tahun lepas, Sabah berjaya mengutip pingat gangsa pada SUKMA di Perak.
 

  • oleh
  • Advertisement