Anda di sini

Sabah komited pastikan WKB perkasa pembangunan

Advertisement
 Joachim (dua kiri) meninjau suasana pameran yang diadakan pada majlis berkenaan.
TINJAU: Joachim (dua kiri) meninjau suasana pameran yang diadakan pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Sabah komited untuk memastikan kejayaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) sebagai payung dan kerangka agenda pembangunan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, pihaknya yakin dan percaya bahawa kemakmuran menyeluruh bagi rakyat akan dapat dicapai melalui tanggungjawab bersama, termasuk hubungan rapat diantara kerajaan negeri dan persekutuan. 

“Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) akan terus komited untuk bekerjasama dengan SIRIM serta lain-lain agensi, demi memastikan harapan rakyat dengan ekonomi maju serta tawaran pekerjaan pelbagai akan terlaksana.
 
“Saya percaya bahawa SIRIM, melalui kepakaran teknikal dan pengalamannya, akan dapat membimbing para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di Sabah untuk mengubah diri mereka menjadi perusahaan yang dinamik, inovatif dan didorong oleh teknologi,” katanya ketika merasmikan Hari Keterlibatan SIRIM Bersama Industri yang diadakan di sini hari ini.
 
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Sabah ialah RM80 bilion dan pada masa ini sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK ini hanyalah 7.5 peratus. 
 
Katanya, sumbangan oleh sektor pembuatan mesti mencapai sekurang-kurangnya 35 peratus agar Sabah menjadi sebuah ekonomi yang lebih maju.
 
“Justeru, saya menaruh harapan tinggi kepada SIRIM untuk turut sama menyumbang ke arah pembangunan ekonomi di Sabah dan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan pertumbuhan industri, khususnya sektor pembuatan di Sabah.
   
“Kehadiran SIRIM di Sabah sangat relevan dan merupakan pelengkap kepada keperluan kualiti serta standard bagi industri tempatan,” katanya.
 
Beliau berkata, Sabah tidak boleh lagi menggunakan kaedah yang sama dalam membangunkan ekonomi seperti yang telah dilakukan selama beberapa dekad lepas. 
 
Program Keterlibatan SIRIM Bersama Industri itu menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti industri dan usahawan di Sabah.
 
Kira-kira 300 wakil dari agensi kerajaan, industri, persatuan, institusi pengajian tinggi dan usahawan tempatan dari pelbagai sektor termasuk industri makanan & minuman, industri pertanian, perikanan, penternakan dan perladangan serta industri pembinaan di Sabah telah hadir pada program tersebut.
 

  • oleh
  • Advertisement