Anda di sini

Neymar beraksi cemerlang, Mbappe bantu PSG benam Montpellier 5-2

Advertisement
Mbappe (kiri) bersaing dengan pemain Montpellier pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara PSG dan Montpellier di Stadium Parc des Princes di Paris, kelmarin. — Gambar AFP
Mbappe (kiri) bersaing dengan pemain Montpellier pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara PSG dan Montpellier di Stadium Parc des Princes di Paris, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS:Neymar meneruskan permulaan cemerlangnya musim ini apabila menjaringkan dua gol sementara Kylian Mbappe meraikan kepulangan ke dalam skuad dengan satu gol tetapi turut melihat satu tendangan penaltinya berjaya diselamatkan ketika Paris Saint Germain (PSG) membelasah Montpellier 5-2 dalam aksi Ligue 1 Perancis pada Sabtu.

Neymar menyempurnakan satu tendangan penalti untuk meletakkan PSG 2-0 di hadapan pada masa rehat perlawanan di Parc des Prince selepas gol sendiri Falaye Sacko meletakkan PSG 1-0 di hadapan.

Neymar kemudian menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga PSG tidak lama selepas rehat untuk menjadikan koleksi golnya pada awal musim ini adalah lima gol dari hanya tiga perlawanan.

Wahbi Khazri merapatkan kedudukan buat Montpellier sebelum Mbappe menjadikan kedudukan 4-1 dan pemain baharu, Renato Sanches masuk dari bangku simpanan untuk melengkapkan jaringan.

Enzo Tchato menjaringkan  gol sagu hati kedua Montpellier pada minit akhir tetapi PSG sudah merekodkan tiga kemenangan berturut-turut di bawah kendalian jurulatih baharu, Christophe Galtier dan menjaringkan 14 gol.

Neymar meneruskan rentak dari akhir musim lepas apabila menjaringkan sembilan gol dalam sembilan perlawanan liga terakhir.

Dia yang sering bergelut dengan tahap kecergasan sejak tiba di Paris pada 2017, kelihatan sangat cergas musim ini.

Berbeza dengan Mbappe, yang bermain perlawanan kompetetif pertama sejak mengumumkan pada malam terakhir musim lepas di mana dia bersetuju dengan kontrak baharu tiga tahun untuk terus kekal di PSG, dengan menolak tawaran perpindahan ke Real Madrid.

Bintang antarabangsa Perancis itu tidak beraksi pada dua perlawanan pertama PSG pada musim baharu – menewaskan Nantes 4-0 pada perlawanan pembuka tirai musim baharu Trofi Juara dan kemudian menewaskan Clermont 5-0 – kerana penggantungan dan kecederaan.

“Dari segi fizikal, kami tahu kekurangan permainannya pada pramusim akan memberi kesan,” kata Galtiber apabila ditanya tentang prestasi dan sikap Mbappe, dengan pemain berusia 23 tahun itu ada kelihatan kecewa beberapa kali pada perlawanan itu.

“Dia seorang pesaing, dia mahu bermain dengan baik dan dia mahu semuanya dengan cepat.”

Mbappe, di mana perlawanan terakhirnya ialah menentang Gamba Osaka di Jepun  hampir tiga  minggu yang lalu, melihat penaltinya pada pertengahan separuh masa pertama diselamatkan penjaga gol Montpellier, Jonas Omlin selepas panel video bantuan pengadil (VAR) mengesan bola terkena tangan dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, rembatan Mbappe terkena Sacko dan masuk ke pintu golnya sendiri untuk membuka jaringan dan Mbappe kemudian ada menjaringkan gol dari satu tendangan sudut Neymar dalam separuh masa kedua namun Galtier mengakui penyerangnya itu belum sampai ke kemuncak prestasinya. — AFP

Advertisement