Anda di sini

Menjejaki Pengkritik Sastera Wanita di Sarawak

Advertisement
 

Oleh Dilah Tuah

Pengenalan
KRITIKAN sastera (literary criticism) merupakan satu disiplin ilmu yang menjadikan karya sastera (puisi, prosa dan drama) sebagai subjek kajian. Menurut Beckson dan Ganz (1989) dalam Literary Terms: A Dictionary, kritikan sastera merupakan penilaian terhadap karya sastera termasuk pengelasan mengikut genre, struktur dan pertimbangan nilai. Selain itu, kritikan sastera penting dalam membantu khalayak memahami hubungan antara pengarang, pembaca dan teks sastera. Di sisi yang lain, kritikan sastera berperanan dalam meningkatkan keseronokan khalayak untuk membaca karya-karya sastera. Justeru, sebagai disiplin ilmu yang telah lama wujud (sejak tahun 500 SM – ketika Xenophanes dan Heraclitus mengkritik Homeros, pengarang Iliad & Odyssey yang bercerita tidak senonoh tentang dewa-dewa), genre kritikan sastera telah berkembang di seluruh dunia serta mengembangkan beberapa aliran baharu dan teori-teori sastera mutakhir. Antaranya, kritikan moral (360 SM > kini); kritikan strukturalisme/semiotik (1920-an > kini); kritikan formalisme, kritikan psikoanalisis, kritikan Marxis (1930-an > kini); kritikan respons pembaca, Feminis (1960-an > kini); kajian gender (1970-an > kini); historisme/kajian budaya (1980-an > kini); kritikan pasca kolonialisme (1990-an > kini) dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga beberapa teori yang diperkenalkan oleh sarjana tempatan seperti Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang), Teksdealisme (Mana Sikana), Takmilah (Shafie Abu Bakar), Puitika Melayu (Muhammad Haji Salleh) dan lain-lain.
Di Malaysia, genre kritikan sastera lebih banyak didominasi oleh para sarjana di institusi pengajian tinggi seperti Muhammad Haji Salleh, Shahnon Ahmad, Hashim Awang, Hashim Ismail, Md. Salleh Yaapar, Mana Sikana, Lim Swee Tin, Mohamad Mokhtar Hassan, Awang Azman Awang Pawi, Jeniri Amir, Saleeh Rahamad, Che Abdullah Che Ya, Shafie Abu Bakar, Zurinah Hassan, Fatimah Busu, Engku Maimunah Mohd Tahir, Mawar Shafie, Norhayati. Ab Rahman, Salmah Jan Noor Muhammad, Siti Hajar Che Man serta ramai lagi. Di luar pagar universiti, dunia kritikan sastera mekar di tangan Baha Zain, Usman Awang, Anwar Ridhuan, Mohd. Affandi Hassan, Roslan Jomel, Abang Patdeli Abang Muhi, Abizai, Ja’afar Hamdan, Mohd Ali Salim dan Abang Median Abang Said (sekadar menyebut beberapa nama). Daripada beberapa nama pengkritik yang dinyatakan di atas tadi, jelas dunia kritikan di Malaysia lebih ramai diwakili oleh kaum lelaki berbanding wanita sehingga membentuk satu tanggapan tentang male critical theory dalam kesusasteraan tanah air. Sehubungan itu, penulisan ini akan membincangkan dan menjejaki pengkritik sastera dalam kalangan penulis wanita di Sarawak.
 
Pengkritik Sastera Wanita Sarawak
Di Sarawak, genre kritikan sastera didapati kurang diminati oleh penulis berbanding genre sastera yang lain, sama ada dalam kalangan pengkritik lelaki mahupun wanita. Hal ini mungkin disebabkan oleh keperluan kritikan sastera yang kelihatan ‘berat’ seperti pengetahuan tentang teori atau pendekatan serta ilmu bantu yang lain berbanding cerpen, novel dan sajak yang boleh dihasilkan melalui imaginasi dan daya kreativiti pengarang. Justeru tidak hairan dalam tempoh dua dekad yang lalu (2001-2021), dunia kritikan di Sarawak kekal dibarisi oleh pengkritik sastera yang sama seperti Jeniri Amir, Jais Sahok, Hazami Jahari, Zaini Oje@Ozea, Abdul Rasid Subet, Roslan Jomel, Poul Nanggang serta ramai lagi. Sepanjang tempoh tersebut juga, hanya muncul beberapa nama pengkritik baharu seperti Abizai, Abang Median Abang Said, Mohd Ali Salim, Dilah Tuah, dan Muhammad Qhidir Mat Isa (mengambil kira mereka ini sebagai penerima Hadiah Sastera Penulis Sarawak bagi kategori kritikan). 
     Dalam kalangan pengkritik wanita, terdapat beberapa nama penting yang telah mewarnai dunia kritikan di Sarawak, iaitu Hajijah Jais, Hajijah Mainol, Rosani Hiplee, Sara Beden, Dayang Azizah Mohd Salleh, Siti Nur Hidayah Abdullah, Mary Fatimah Subet dan Nur Ilyani Alias. Daripada lapan orang pengkritik wanita di atas, hanya terdapat enam orang yang masih aktif menulis kritikan iaitu Sara Beden, Rosani Hiplee, Dayang Azizah Mohd Salleh, Siti Nur Hidayah Abdullah, Nur Ilyani Alias dan Mary Fatimah Subet (sekiranya mengambil kira penerbitan karya tiga tahun terkini). Pengkritik wanita paling prolifik di akhbar ialah Rosani Hiplee kerana menjadi salah seorang pembimbing di ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), Utusan Sarawak. Walaupun ulasan puisi yang disiarkan tidak semuanya berasaskan teori dan pendekatan sastera yang spesifik, namun ia tetap memenuhi elemen kritikan sastera, iaitu mempunyai perkara (matter), cara (manner) dan keupayaan mengemukakan kenikmatan estetika (capacity to please) kepada khalayak pembaca. Manakala dalam bentuk tulisan ilmiah, penulisan kritikan sastera yang diterbitkan di jurnal akademik lebih banyak di pelopori oleh Sara Beden dan Mary Fatimah Subet. Manakala Dayang Azizah dan Siti Nur Hidayah Abdullah lebih menyerlah dalam ruangan esei kritikan, Antologi Karya Kreatif Hari Guru terbitan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. 
    Dari sudut skop pemilihan karya, dapatan menunjukkan daripada 50 buah karya yang diteliti oleh lapan orang pengkritik wanita di atas, 76 peratus daripadanya merupakan karya penulis lelaki. Manakala karya penulis wanita hanya sebanyak 24 peratus. Jumlah ini amat rendah sekiranya dibandingkan dengan jumlah karya yang dihasilkan oleh penulis wanita. Dapatan ini tentunya bukan suatu petanda yang baik bagi penulis wanita di Sarawak kerana sesebuah karya yang terbit tidak seharusnya tersimpan di rak buku, namun harus dikupas, dibahas dan dibongkar bagi memperlihatkan sisi kecerdikan, pengalaman, visi, rasionalisasi mahupun gagasan baharu yang ingin disampaikan oleh pengarang. Walaupun tiada sekatan atau halangan berasaskan gender dalam pemilihan karya untuk dikritik, namun pengkritik wanita perlu menyeimbangkan pandangan, ulasan dan kupasan daripada pengkritik lelaki terhadap karya penulis wanita khususnya di Sarawak. Hal ini dikatakan sedemikian kerana dalam beberapa perkara, hanya pengarang wanita yang dapat menyelami dan memahami falsafah, gagasan serta idea yang dipotretkan oleh penulis wanita. 

 

Impak Kritikan Kepada Legasi, Partisipasi dan Kejayaan Penulis Wanita
Kritikan sastera sering kali ditafsirkan untuk mencari kesalahan yang dilakukan oleh pengarang dalam sesebuah karya yang telah terbit. Hal ini dilakukan atas alasan tugas pengarang telah selesai atau ‘pengarang mati’ setelah karyanya terbit dan terpulang kepada pembaca untuk menafsirkan karya tersebut. Gagasan ini pada awalnya dikemukakan oleh Roland Barthes (1968) dalam esei yang berjudul “The Death of the Author”, namun ia bukan lesen kepada pembaca atau pengkritik untuk merendah-rendahkan mutu sesebuah karya. Dalam dunia kesusasteraan masa kini, pengarang dan pengkritik harus bergerak seiringan untuk mencipta satu hubungan yang dapat mematangkan pengarang dan membijaksanakan khalayak pembaca. Justeru, wacana kritikan tidak seharusnya masih berpaksikan kepada kerangka struktural konvensional semata-mata, namun harus membawa kepada suatu pembaharuan yang dapat memberi impak besar kepada pengarang dan dunia kesusasteraan secara keseluruhan. 
     Dalam konteks pembinaan legasi penulis wanita di Sarawak, tugas pengkritik khususnya dalam kalangan pengkritik wanita sendiri amat diperlukan. Dalam proses melahirkan penulis wanita Sarawak yang prolifik sehingga mencapai makam Sasterawan Negara, wacana kritikan yang memperkatakan tentang kewibawaan karya dan pengarang harus dipergiatkan. Misalnya potensi Abizai sebagai penyair besar di Sarawak telah diberi perhatian oleh Jeniri Amir pada tahun 2001 melalui esei yang berjudul “Idiosinkrasi dan Jati Diri Puisi Abizai”. Selepas 20 tahun, apa yang diperkatakan oleh Jeniri Amir tentang Abizai sebagai ‘penyair penting di Sarawak’ ternyata menjadi kenyataan. Tidak hanya sebagai penyair penting di Sarawak, Abizai turut diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai penerima S.E.A. Write Award daripada kerajaan Thailand pada tahun 2017 dan anugerah Sasterawan Negeri Sarawak kelima pada tahun 2021. Justeru dalam hal ini, wacana kritikan tidak harus dilihat sebagai satu genre yang terasing daripada dunia kesusasteraan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana pembinaan penulis tidak hanya dipacu oleh kekuatan daya imaginasi dan kreativiti pengarang semata-mata, namun harus berupaya menjadi subjek yang diwacanakan. 
     Menjadi penulis bukan sesuatu yang dirancang, namun untuk melahirkan penulis besar, khususnya di Sarawak memerlukan perancangan yang strategik. Di Sarawak, terdapat ramai penulis wanita yang berwibawa seperti Radzemah Bolhassan, Latifah Haji Shebli, Jamilah Morshidi, Beb Sabariah, Rosani Hiplee, Sriwati Labot, Naziah Naziri, Maliah Adenan, Shield Sahran, Tey Marzuki, Siti Nur Hidayah Abdullah, Clariessa Kesulai, Shafida Roslan, Azrinna Jamahari, Armiza Nila (Maslina Mahbu), Ilya Alias, dan Rozalia Rajali (sekadar menyebut beberapa nama). Hasil tinjauan kosa ilmu, didapati tidak banyak karya-karya penulis wanita Sarawak ini diperkatakan kecuali beberapa buah karya Radzemah Bolhassan dan novel tunggal Beb Sabariah, iaitu Tirani. Karya-karya penulis wanita Sarawak yang mula meningkat naik dalam dunia penulisan kreatif seperti Shield Shahran (Pengiran Bulan, Acang Merpati, Niqab dll.), Tey Marzuki (Sindrom, Purnama, Vendetta dll.), dan Clariessa Kesulai (cerpen “Ngepan”) yang memperlihatkan potensi besar wajar diberi perhatian dan dibedah karya mereka untuk menampakkan kekuatan serta mencadangkan penambahbaikan demi meningkatkan mutu karya yang akan datang. 
     Justeru, untuk memperbanyakkan wacana kritikan dan ulasan karya penulis wanita yang kini kebanyakannya digalas dan diperkatakan oleh pengkritik lelaki, maka pengkritik-pengkritik baharu dalam kalangan penulis wanita perlu diperbanyakkan. Hakikat ini bertepatan dengan pandangan Showalter (1977) dalam A Literature of Their Own, iaitu pengkritik wanita lebih arif dalam mencungkil, menganalisis, memelihara budaya wanita dan memahami dunia wanita.
     Mengembangkan genre kritikan dalam kalangan penulis wanita yang tidak mempunyai latar belakang sastera mungkin kelihatan berat dan mencabar. Kendatipun begitu, tidak semua kritikan perlu didasari oleh teori dan pendekatan. Penilaian ringkas atau ulasan tentang sesebuah karya yang dihasilkan berasaskan pembacaan turut diklasifikasikan sebagai kritikan sastera, iaitu kritikan respons pembaca. Hal ini dikatakan sedemikian kerana spektrum aktiviti kritikan adalah sesuatu yang luas, iaitu daripada ulasan buku hingga ke perbincangan teori yang lebih mendalam. Selain itu, impak daripada ulasan buku misalnya berpotensi untuk menentukan sama ada sesebuah karya dapat dijual dalam kuantiti besar atau tidak. Dalam beberapa senario, ulasan buku yang bersifat ‘kontroversi’ atau ulasan yang tidak cemerlang seperti yang berlaku kepada novel Moby Dick (1851) karya Herman Melville (novelis Amerika) ternyata menikmati kejayaan yang luar biasa sama ada dalam bentuk cetakan dan filem selama hampir dua ratus tahun (filem In the Heart of the Sea terbitan tahun 2015 di inspirasi dari novel Moby Dick). 
     Di Malaysia, terdapat beberapa buah novel kontroversi yang mendapat perhatian pengkritik atas faktor kejelikannya seperti novel Burok: Autobiografi Lina Sepora karya Sasterawan Negara Rahman Shaari, satira politik SHIT karya Shahnon Ahmad, isu perkauman dalam Interlok karya Abdullah Hussain, unsur lucah dalam Pantai Kasih karya Azmah Nordin, isu agama dalam Sebongkah Batu di Kuala Berang karya Faisal Tehrani, sastera popular dalam 99 Kata-kata Fattah Amin karya Fatah Amin dan lain-lain. 
     Sehubungan itu, penting bagi genre kritikan ini diperkasakan, khususnya dalam kalangan penulis wanita di Sarawak. Hal ini dikatakan sedemikian kerana karya-karya baharu daripada penulis Sarawak terlalu jarang diperkatakan, diulas dan dibincangkan dalam wacana sastera di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, ketiadaan ulasan di jurnal, majalah, akhbar dan media sosial semakin menyepikan karya-karya yang sememangnya sepi di rak-rak kedai buku yang kian lengang. Akhirnya, hasil karya sastera yang bermutu serta sarat dengan citra sosiobudaya dan kearifan di Sarawak hanya menjadi kayu ukur pencapaian penerbitan bagi sesebuah rumah penerbitan dan bukannya kejayaan yang mampu memberi impak ekonomi (royalti jualan buku) kepada pengarang. Dalam konteks penganugerahan dan pengiktirafan, kekuatan karya tidak hanya dapat dibuktikan oleh pengarang melalui hasil karya yang telah terbit, namun harus disokong, disanggah, diraikan dan diapresiasikan oleh khalayak. Perkara inilah yang mendorong kepada kejayaan penulis dalam membina wilayah kepengarangan yang tersendiri dalam dunia sastera yang kian mencabar. 
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas penulis wanita di Sarawak perlu berani melangkah untuk menguasai genre kritikan yang lebih banyak didominasi oleh penulis lelaki. Penyertaan penulis wanita dalam genre ini diyakini dapat meningkatkan partisipasi, membina legasi dan memacu kejayaan penulis wanita di Sarawak. Dalam menyuburkan genre ini, peranan dan penglibatan pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, persatuan-persatuan penulis serta para sarjana di institusi pengajian tinggi amat diperlukan dalam membina dan melahirkan pengkritik muda. Usaha ini telah dilaksanakan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sehingga berjaya melahirkan beberapa pengkritik muda Sarawak seperti Muhammad Qhidir Mat Isa dan Amir Asyraff Jamin. Begitu juga dalam kalangan penulis yang bernaung di bawah persatuan penulis seperti Mohd Faizal Jamil (PEKASA) yang pernah mengupas kumpulan sajak Aku Masih Mahu Cinta karya Ja’afar Hamdan dan Za’abaie Haji Shuaini yang aktif menulis kritikan sastera di bahagian utara Sarawak. Kelahiran beberapa orang pengkritik sastera yang bukan berlatarbelakangkan akademik sastera, jelas membuktikan bahawa genre ini bersifat terbuka kepada semua penulis. 

 
 
Advertisement