Anda di sini

Lelaki warga emas maut jatuh gaung

Advertisement
 Mangsa dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam gaung tersebut.
JATUH: Mangsa dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam gaung tersebut.

SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dipercayai tergelincir semasa melakukan aktiviti mendaki di Bukit Mawar, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.20 petang.

“Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Kita mendapati, mangsa berumur 70 tahun sudah tidak sedarkan diri akibat jatuh ke dalam gaung dari ketinggian 20 kaki semasa melakukan aktiviti mendaki,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pasukan bomba kemudiannya, membawa mayat mangsa ke lokasi selamat dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan akhir dijalankan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian, sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.35 malam,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement