Anda di sini

Gan Boon Leong meninggal dunia

Advertisement
 

MELAKA: Atlet yang mendapat julukan sebagai ‘Bapa Sukan Bina Badan Negara’ Datuk Gan Boon Leong, 84, meninggal dunia pada pukul 1.30 pagi tadi akibat lemah jantung.

Anaknya, Datuk Gan Tian Loo berkata mendiang bapanya yang sebelum itu dirawat di sebuah hospital di sini, telah dibenarkan pulang tengah hari semalam, dan ditempatkan di sebuah pusat penjagaan di sini, sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi ini.

"Mayat mendiang kini ditempatkan di pejabatnya di Jalan Jonker untuk memberi peluang kepada orang ramai memberi penghormatan terakhir, dan akan dikebumikan pada Jumaat ini di Bekok, Johor," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini hari ini.

Di samping pernah merangkul gelaran Mr Universe, Mr Asia dan Mr Malaysia, mendiang Gan juga pernah dilantik menjadi Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Naib Pengerusi Persekutuan Bina Badan Asia dan Naib Pengerusi Asian Power Lifting Federation.

Dilahirkan pada 25 Ogos 1937, mendiang juga aktif dalam beberapa persatuan tinju dan tae kwan do terutama di peringkat negeri Melaka.

Bekas Pengerusi MCA Melaka itu meninggalkan seorang isteri, Datin Chong Kin Yock dan tujuh anak. - BERNAMA 

Advertisement