Anda di sini

Undi 18: Platform anak muda tawarkan politik segar

Advertisement
 

KUALA SELANGOR: Pelaksanaan Undi 18 dilihat sebagai platform anak muda untuk membuktikan mereka mampu menawarkan wadah baharu politik yang lebih segar, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar).

Tengku Zafrul berkata golongan ini juga mampu mengubah gaya politik tradisional, namun perlu mempunyai pemahaman terhadap isu semasa untuk mereka membuat pilihan yang bijak, demi masa hadapan negara.

“Pada masa sama, Undi 18 dilihat dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk terlibat aktif, dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara. Mungkin selepas ini kita boleh melihat lebih ramai golongan muda menjadi pemimpin, baik di peringkat Persekutuan atau negeri.

“Undi 18 juga mampu melahirkan bakal pemimpin yang matang dan berkualiti. Penurunan umur minimum mengundi, dilihat mampu memberi lebih masa kepada golongan muda mendekati dan mendalami arena politik dan kepimpinan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor 2022 di Stadium Utama Kuala Selangor, semalam.

Tengku Zafrul berkata apabila terdapat ramai wakil golongan muda dalam arena politik, sudah pasti suara generasi ini akan lebih didengari.

“Ruang dan platform ini juga berupaya melihat lebih ramai golongan muda akan terlibat aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata keadaan pandemik COVID-19 telah mewujudkan peningkatan bilangan usahawan muda dan kebergantungan perniagaan kepada teknologi pendigitalan, khususnya ekonomi gig.

“Penglibatan anak muda belia dalam industri digital ini, berupaya memberikan rangsangan ekonomi dan sumbangan idea yang baharu kepada kerajaan dan generasi milineal ini tidak lagi mengharapkan penggantungan kepada ekonomi dan pekerjaan tradisional,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu, turut menyediakan segmen ‘Y-Career’ iaitu pameran kerjaya yang melibatkan lebih 26 buah syarikat menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada anak tempatan. - BERNAMA
 

Advertisement