Anda di sini

Seramai 94 individu secara sukarela mendaftar ikrar derma organ

Advertisement
Lee bersama Karambir menunjukkan risalah media kempen derma organ dan derma darah bagi mempertingkat kesedaran awam di Miri hari ini.
Lee bersama Karambir menunjukkan risalah media kempen derma organ dan derma darah bagi mempertingkat kesedaran awam di Miri hari ini.

MIRI: Seramai 94 individu secara sukarela mendaftarkan diri sebagai pengikrar menderma organ sejak Januari lalu hingga Ogos tahun ini dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Miri yang aktif mempromosikan kempen derma darah, pihaknya turut mempromosi kesedaran derma organ.

"Pada 2021, PBSM mencatatkan pendaftaran kira-kira 291 orang berikrar menderma organ sementara hingga Ogos tahun ini, 94 individu telah tampil mendaftar," katanya semasa melancarkan Kempen Hari Derma Organ Sedunia 2022 dan Kempen Derma Darah di PBSM Cabang Miri hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata kesedaran menderma organ dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkat bagi membantu pesakit yang memerlukan.

"Saya sendiri mendaftar sebagai pengikrar derma organ dan kami berterima kasih kepada individu yang mendaftar demi membantu pesakit yang memerlukan," jelasnya.

Menurutnya, meskipun individu itu mendaftar namun keputusan daripada keluarga juga dipertimbangkan sama ada ia dilakukan atau sebaliknya.

"PBSM terus mengadakan kempen kesedaran derma organ dilaksanakan sejak berdekad dan berharap lebih ramai tampil mendaftar sebagai pengikrar derma organ," katanya.

Mengulas mengenai kempen derma darah, sejak 18 Mac 2020, sebanyak 218 kempen derma darah diadakan di PBSM Cawangan Miri.

"Daripada 11,394 mendaftar menderma darah, seramai 9, 526 orang menyumbangkan darah mereka di pusat ini dan menunjukkan kesedaran menderma darah di Miri sangat tinggi," jelasnya.

Manakala bagi tahun ini, seramai 2,904 penderma baharu mendaftar dengan 2,400 daripadanya berjaya menderma darah mereka.

"Masyarakat harus menyedari kempen derma organ dan darah ini adalah untuk menyelamatkan nyawa orang lain tanpa mengira agama dan bangsa," katanya.

Hadir sama Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah BSMM Miri Karambir Singh.
 

  • oleh
  • Advertisement