Anda di sini

Semua rakyat perlu jiwai erti kemerdekaan

Advertisement
 Abdul Hakim (kanan) ketika melepas peserta konvoi tersebut.
KONVOI: Abdul Hakim (kanan) ketika melepas peserta konvoi tersebut.

LAHAD DATU: Setiap rakyat perlu menjiwai erti kemerdekaan dan menunjukkan rasa kecintaan kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan premis masing-masing.

Timbalan Yang Dipertua USIA Sabah, Abdul Hakim Gulam Hassan berkata bendera Malaysia harus lebih banyak dan meriah dikibarkan setiap kali menjelangnya sambutan bulan kemerdekaan.

“Semangat kibarkan bendera adalah simbolik dan tanda kesyukuran kita terhadap kemerdekaan negara yang dikecapi ketika ini.

“Justeru, setiap rakyat perlu menghormati dan berusaha mengibarkan bendera negara di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Lahad Datu berkata demikian ketika merasmikan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Katanya, semangat patriotisme juga perlu ada dalam diri setiap rakyat di negara ini, disamping menghargai pengorbanan pemimpin dan pejuang dahulu yang berjuang memerdekakan negara.

 Abdul Hakim bersama tetamu yang hadir dan peserta konvoi.
HADIR: Abdul Hakim bersama tetamu yang hadir dan peserta konvoi.

Sehubungan itu, Abdul Hakim menggesa semua pemilik premis di daerah ini supaya memasang bendera negara di tempat mereka tanpa terkecuali.

Dalam majlis itu, Abdul Hakim turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka tersebut yang dilakukan di Kompleks Sukan Lahad Datu, di sini.

Terdahulu, konvoi berkenaan meneruskan jelajah mereka dari Lahad Datu menuju ke Kinabatangan dan Sandakan sebelum meneruskan jelajah mereka ke sebelah Pantai Barat Sabah.

Konvoi tersebut disertai oleh 17 buah kereta yang terdiri 11 agensi kerajaan dan melibatkan 50 orang peserta. Kembara Merdeka ini menyelusuri 25 daerah dengan perjalanan sejauh 2,150 kilometer.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah; Pegawai Daerah Lahad Datu Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Segama, Mizma Appehdulah.

  • oleh
  • Advertisement