Anda di sini

See perlu letak jawatan sebagai ADUN Batu Lintang

Advertisement
 

KUCHING: See Chee How harus meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang susulan tindakannya meletak jawatan sebagai ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Presiden PSB, Dato Sri Wong Soon Koh (gambar) berkata ia antara dua Aku Janji dipersetujui See sebelum beliau dipilih menjadi calon PSB di kawasan DUN Batu Lintang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada Disember tahun lalu.

"See menyedari sepenuhnya komitmen lisan dan bertulis yang telah diberikan kepada PSB sebelum beliau dipilih menjadi calon PSB di Kawasan Batu Lintang. Ini termasuk Aku Janji untuk membayar pampasan kepada parti jika memilih meletak jawatan selepas memenangi Batu Lintang sebagai calon PSB.

"Ia juga termasuk Aku Janji untuk melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri jika beliau meletak jawatan sebagai ahli PSB selepas memenangi kerusi itu," katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Wong berkata sebagai seorang peguam senior serta berpengalaman, tahu beliau perlu komited kepada Aku Janji bertulis sebelum diberi Surat Watikah untuk mewakili PSB pada PRN lalu.

"Oleh itu, dari segi prinsip, PSB akan mengambil semua cara dan tindakan ke atas komitmen dibuat oleh YB See," ujarnya.

Wong memaklumkan PSB telah menerima surat peletakan jawatan sebagai ahli parti itu daripada See  dan tindakan ADUN Batu Lintang itu amat dikesali.

Wong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Speaker DUN Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini berhubung peletakan jawatan See sebagai ahli PSB berkuatkuasa serta merta.

"PSB amat kesal dengan tindakan YB See,  meletak jawatan sebagai ahli selepas beliau memenangi Batu Lintang pada PRN lalu sebagai wakil PSB.

"YB See menyedari sepenuhnya sokongan dan sumber diberikan PSB juga penyokong PSB kepadanya," tambah ADUN Bawang Assan itu.

Terdahulu Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini memaklumkan peletakan jawatan See sebagai ahli PSB berkuat kuasa serta merta.

Menurut Asfia, beliau menerima surat peletakan jawatan See sebagai ahli PSB pada 12 Ogos 2022 (Jumaat).

“Pada hari Jumaat (12 Ogos) lalu, saya telah menerima sepucuk surat daripada ADUN Batu Lintang See Chee How yang menyatakan bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai ahli PSB berkuatkuasa serta-merta.

“Dengan peletakan jawatan beliau sebagai ahli PSB, maka kedudukan keahlian parti-parti di DUN Sarawak adalah GPS 76 kerusi, PSB (tiga kerusi), DAP (dua kerusi) dan BEBAS (satu kerusi),” katanya.

Asfia berkata, See tidak melompat ke parti lain dan hanya meletak jawatan sebagai ahli PSB, justeru menjadikan beliau sebagai ahli Bebas.

See yang sebelum ini ahli PKR telah menyertai PSB  pada Mei 2020.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian bersama-sama dengan Baru menyertai PSB pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh.

Dalam Pilihan Raya Negeri ke-12, See berjaya mengekalkan kemenangan kerusi DUN Batu Lintang dengan memperoleh 4,420 undi.
 

  • oleh
  • Advertisement