Anda di sini

See Chee How keluar PSB, jadi ADUN Bebas

Advertisement
Asfia menunjukkan surat yang diterimanya daripada See pada 12 Ogos 2022. Gambar Roystein Emmor
Asfia menunjukkan surat yang diterimanya daripada See pada 12 Ogos 2022. Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How meletak jawatan sebagai ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuatkuasa serta-merta.

Perletakan jawatan See diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

“Pada hari Jumaat (12 Ogos) lalu, saya telah menerima sepucuk surat daripada ADUN Batu Lintang See Chee How yang menyatakan bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai ahli PSB berkuatkuasa serta-merta.

“Dengan perletakan jawatan beliau sebagai ahli PSB, maka kedudukan keahlian parti-parti di DUN Sarawak adalah GPS 76 kerusi, PSB (tiga kerusi), DAP (dua kerusi) dan BEBAS (satu kerusi),” katanya.

Asfia berkata, See tidak melompat ke parti lain dan hanya meletak jawatan sebagai ahli PSB, justeru menjadikan beliau sebagai ahli Bebas.

“Saya dapati peribadi See adalah cemerlang dan cekap. Beliau bijak membentangkan pandangan dan pendapatnya di Dewan.

“Beliau adalah ahli Jawatankuasa Perundingan dalam menasihati Dewan untuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan saya yakin beliau dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai ADUN serta sumbangan beliau kepada kawasannya dan kepada Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Asfia membacakan surat perletakan jawatan daripada See bertarikh 12 Ogos 2022.

Surat See berbunyi seperti berikut; “Sila dimaklumkan bahawa saya telah meletakkan keahlian saya daripada PSB berkuat kuasa serta-merta.

“Salinan surat tarikh saya kepada Yang Berhormat Dato Sri Wong Soon Koh, Presiden Parti Sarawak dilampirkan di sini untuk rujukan dan tatapan  Yang Berhormat Tan Sri Datuk Amar Speaker.

“Selepas ini, saya akan terus berkhidmat kepada kawasan di N.11 Batu Lintang, Sarawak dan seluruh rakyat Sarawak sebagai Ahli Bebas Dewan Undangan Negeri untuk melaksanakan tugas saya dengan sebaik-baiknya, memikul tanggungjawab dan taat setia kepada Negeri  Sarawak dan kepada Persekutuan Malaysia dan saya akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mempercayakan sepenuhnya Yang Berhormat Tan Sri Datuk Amar Speaker dan pejabat yang dihormati untuk melaksanakan pelarasan yang perlu dan seterusnya”.

Ditanya sebab See keluar dari PSB, Asfia berkata, surat itu tidak menyatakan mengapa beliau meletak jawatan daripada parti.

“Bukan pada saya.  Saya membaca surat itu dan itu sahaja kandungannya dan tidak lebih. Beliau tidak menyatakan kenapa dia meletakkan jawatan dalam parti,” katanya.

Sementara itu, See ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perletakan jawatannya namun memaklumkan akan mengadakan sidang media pada Selasa (16 Ogos) ini berhubung perkara itu.

See yang sebelum ini ahli PKR telah menyertai PSB  pada Mei 2020.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian bersama-sama dengan Baru menyertai PSB pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh.

Dalam Pilihan Raya Negeri ke-12, See berjaya mengekalkan kemenangan kerusi DUN Batu Lintang dengan memperoleh 4,420 undi.
 

  • oleh
  • Advertisement