Anda di sini

Perbanyak program sempena Hari Kebangsaan

Advertisement
Rubiah bersama pemimpin di peringkat akar umbi melancarkan (flag off) Program Merdeka@Komuniti Konvoi Kembara Merdeka di Pejabat Daerah Samarahan hari ini.
Rubiah bersama pemimpin di peringkat akar umbi melancarkan (flag off) Program Merdeka@Komuniti Konvoi Kembara Merdeka di Pejabat Daerah Samarahan hari ini.


Pastikan semarak, semangat kemerdekaan jadi agenda kehidupan seharian masyarakat 

"Laksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk semua lapisan masyarakat khasnya untuk golongan muda supaya mereka dapat menilai semangat kemerdekaan dan perpaduan yang perlu dimantapkan dari semasa ke semasa.” 

Datuk Rubiah Wang
Ahli Parlimen Kota Samarahan 

Oleh Hamkar Sarbinee

KOTA SAMARAHAN: Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi disaran mengadakan lebih banyak program sempena Hari Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat Patriotik dalam kalangan masyarakat.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, ia penting dalam memastikan semarak dan semangat kemerdekaan dapat menjadi agenda utama dalam kehidupan seharian masyarakat.

Menurutnya, ketua kaum mahupun ketua komuniti sebagai pemimpin akar umbi disaran mengatur program dan aktiviti di peringkat kampung, komuniti, kelab mahupun persatuan.

"Laksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk semua lapisan masyarakat khasnya untuk golongan muda supaya mereka dapat menilai semangat kemerdekaan dan perpaduan yang perlu dimantapkan dari semasa ke semasa.

"Di bawah Parlimen Kota Samarahan sendiri turut mengadakan beberapa program sempena Hari Kebangsaan pada 30 Ogos ini," katanya semasa menghadiri Program Merdeka@Komuniti Konvoi Kembara Merdeka di Pejabat Daerah Samarahan di sini hari ini.

Rubiah berkata, peranan Hari Kebangsaan itu penting untuk mencetuskan semangat patriotik cintakan negara.

"Kita perlu negara yang stabil yang bukan sahaja stabil dari sudut ekonomi, sosial malah turut stabil dalam politik serta sektor-sektor yang lain.

"Kita perlu perpaduan yang erat di Malaysia kerana di negara ini mempunyai pelbagai kaum dan mempunyai budaya dan perlu ada titik bersama untuk memastikan rakyat dapat hidup dalam satu negara mahupun negeri dalam keadaan aman dan harmoni," jelasnya.

Menurutnya, menerusi tema Hari Kebangsaan iaitu 'Keluarga Malaysia, Teguh Bersama' ini memerlukan perpaduan erat dalam memastikan kerajaan sentiasa kuat serta mantap dalam kestabilan ekonomi mahupun sosial.

"Semarakkan semangat perpaduan ini menerusi agenda Keluarga Malaysia yang ditekankan pada masa ini memandangkan isu perpaduan mula dipertikai di peringkat negara mahupun negeri.

"Sehubungan itu, ikatan kekeluargaan sentiasa diperkuat dalam memastikan negara kuat dan sentiasa disegani, bukan sahaja oleh rakyat Malaysia sendiri malah seluruh dunia," katanya.

Mengenai konvoi di peringkat Parlimen Kota Samarahan berkenaan, terdapat beberapa persinggahan dan 'check point' yang akan dilalui iaitu Surau Kampung Tambirat, pekan Asajaya dan Kampung Sampun.

Berhubung Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di luar Sabah dan Sarawak, Rubiah menjelaskan keputusan itu adalah bagi memastikan semangat perpaduan dalam Keluarga Malaysia dapat diteruskan.

Oleh itu, katanya cadangan menyambut Hari Malaysia di kawasan luar Sabah dan Sarawak adalah baik kerana penubuhan Malaysia bukan sahaja melibatkan Sabah dan Sarawak namun ia perlu mengambil kira rakyat di Semenanjung.

"Justeru, sambutan Hari Malaysia yang bakal dilangsungkan di Melaka tahun ini dapat menanam semangat solidariti, perpaduan yang lebih mantap dalam kalangan 'Keluarga Malaysia'," ujarnya.
 

Advertisement