Anda di sini

Masyarakat perlu terus berganding bahu

Advertisement
 Jahid (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama penerima anugerah pada majlis berkenaan.
KENANGAN: Jahid (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama penerima anugerah pada majlis berkenaan.

TAMPARULI: Masyarakat akar umbi perlu terus bersatu dan berganding bahu bagi memastikan hubungan kekeluargaan dalam kalangan penduduk sentiasa terjaga baik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, penduduk yang tinggal di bandar mahupun kampung juga perlu memastikan hubungan silaturrahim antara jiran juga perlu dititikberatkan.

“Sempena sambutan Maal Hijrah ini, saya meminta kepada semua masyarakat khususnya di daerah ini untuk bersama berhijrah kepada perkara yang lebih baik.

“Sama-sama kita segarkan, mekarkan kasih sayang, silaturrahim antara kejiranan dengan saling bantu membantu sekiranya ada perkara yang perlu dibantu,” katanya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Tamparuli di sini hari ini.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, adalah bersesuaian dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

“Jika dahulu kita ada salah faham antara kejiranan, maka kali ini kita berhijrah kepada lebih baik dengan meminta maaf. Jika ini dapat dicapai, keharmonian sesebuah keluarga itu akan dapat dikecapi dengan harmoni,” katanya.

Pada majlis itu, seorang pesara Pendidikan Yatau @ Azman Ubin,67, dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat daerah kecil Tamparuli.

Selain itu, turut menerima anugerah Mohd Zulkepli Awang,62, dan Saidati Madani,60, masing-masing dianugerahkan Bapa Mithali dan Ibu Mithali.

Terdahulu, Jahid turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi membina Dewan Terbuka Masjid Baitul Rahman Sungai Damit bagi melaksanakan aktivit-aktiviti kemasyarakatan di kampung berkenaan.
 

Advertisement