Anda di sini

Kerajaan komited membangunkan serta memperkasa golongan belia

Advertisement
Tiang (tengah) serta yang lain meraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-65 JCI Sibu, malam semalam.
Tiang (tengah) serta yang lain meraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-65 JCI Sibu, malam semalam.

SIBU: Kerajaan negeri sangat komited membangun serta memperkasa golongan belia.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang berkata, pelbagai inisiatif dan kemudahan diperkenalkan kerajaan negeri bagi tujuan tersebut.

"Ini kerana, masa depan negeri Sarawak memerlukan belia untuk meneruskan hala tujunya.

"Belia memainkan peranan besar dalam pembinaan negara kita khususnya negeri ini," katanya ketika berucap menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-65 JCI Sibu di sini, malam semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Temenggung Datuk Vincent Lau, Presiden JCI Malaysia Ellen Lu, Presiden JCI Sibu Christine Pet dan pengerusi jawatankuasa pengelola Shirley Lei.

Tiang memberitahu, belia adalah pemimpin masa depan membayangkan orang muda mempunyai kuasa membantu negeri atau negara membangun dan menuju ke arah kemajuan.

"Mereka juga mempunyai idealisme dan tenaga untuk membawa perubahan positif dalam persekitaran mereka. Pendek kata, belia menentukan masa depan bangsa kita," jelasnya. 

ADUN Pelawan itu berkata, di negeri Sarawak belia sentiasa memainkan peranan penting dalam masyarakat.

"Berdasarkan Sistem Data Bank Belia Malaysia, populasi rakyat Sarawak pada 2021 adalah 3.4 juta orang. Daripada jumlah 3.4 juta orang itu, 45 peratus berumur antara 15 hingga 40 tahun.

"Dengan kata lain, daripada jumlah penduduk di negeri Sarawak hampir separuh penduduknya tergolong sebagai belia," katanya.

Justeru, ini memberi peluang besar kepada belia memainkan peranan aktif dalam pembangunan dan kemajuan berterusan di Sarawak.

Mengenai majlis tersebut, Tiang melahirkan rasa gembira kerana dapat melihat pertubuhan belia seperti JCI Sibu memainkan peranan aktif dalam masyarakat.

"Saya difahamkan ahli-ahli JCI Sibu membantu pada program majlis tempatan di sini seperti 'Hari Cinta Bumi' selama bertahun-tahun lalu.

"Melalui semua program, mereka melahirkan begitu ramai pemimpin cemerlang. Syabas kepada JCI Sibu atas usaha itu," jelasnya.

Tiang turut memuji JCI Sibu sebagai pertubuhan belia serba boleh kerana ahli-ahli mereka turut terlibat sebagai pasukan sukarelawan semasa bertugas di pusat vaksinasi.

"Ini adalah jenis impak sepatutnya diberikan oleh organisasi belia dalam komuniti dan masyarakat tempatan mereka.

"Teruskan menunjukkan contoh baik kepada semua belia di Sibu dan Sarawak dalam memberi impak positif dalam kalangan komuniti," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan belia harus sentiasa bercita-cita memajukan diri mereka dan memberi inspirasi kepada orang lain.

"Jack Welch, CEO legenda General Electric pernah berkata, sebelum anda menjadi pemimpin kejayaan harus dilakar terlebih dahulu adalah kejayaan membangunkan diri sendiri," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement