Anda di sini

Kadar jangkitan COVID-19 Sabah bertambah baik

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Secara keseluruhan kes COVID-19 di Sabah bertambah baik dengan 15 daerah merekodkan penurunan jumlah jangkitan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hanya lima daerah merekodkan pertambahan kes baharu.

"Hari ini, jumlah kes baharu COVID-19 yang direkodkan adalah 259 kes, 69 kes lebih rendah daripada hari sebelumnya.

"Penurunan jumlah jangkitan harian pada skala yang agak besar adalah sejajar dengan jumlah sampel ujian yang lebih rendah serta kadar positiviti yang turut sama menurun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, 10 daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu sepanjang 24 jam yang lalu berbanding lima daerah sahaja pada hari sebelumnya.

Sepertimana yang telah dinyatakan semalam, Masidi menjelaskan agak sukar meramalkan kedudukan seterusnya kerana jumlah jangkitan boleh turun-naik secara mendadak setiap hari di beberapa daerah khususnya yang padat penduduk.

"Jumlah sampel ujian dan kadar positiviti adalah asas penentu angka jangkitan harian. Kota Kinabalu merekodkan jangkitan baharu tiga angka dengan 105 kes, Tuaran 28 kes, Penampang 25 kes, Putatan 22 kes, Tawau 19 kes, Sandakan 17 kes dan Papar 13 kes.

"Sebanyak 256 daripada 259 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, satu kes dalam Kategori 3 dan dua kes dalam Kategori 4," katanya.
 

Advertisement