Anda di sini

Ding minta pemandu teksi utarakan masalah guna saluran betul

Advertisement
Ding mengadakan sesi dialog bersama dengan para pemandu teksi dari kawasan Tengah Zon Sarawak.
Ding mengadakan sesi dialog bersama dengan para pemandu teksi dari kawasan Tengah Zon Sarawak.

BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menasihatkan pemandu-pemandu teksi terutama di kawasan Zon Tengah Sarawak agar mengutarakan masalah yang membelenggu mereka dengan menggunakan saluran yang betul.

Katanya, melalui cara ini akan membolehkan pihak berkaitan mempertimbangkan, mengkaji dan seterusnya mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.

"Gunakan persatuan yang ditubuhkan untuk membawa masalah mereka ke peringkat tertentu agar masalah yang dialami oleh mereka dapat didengari dan dibangkitkan kepada pihak atasan.  

"Kita yakin konsep ini akan menjadi lebih bernas dan memberikan peluang kepada pihak berwajib mencari langkah-langkah yang proaktif dalam mengatasi masalah yang berlaku.

"Namun begitu isu yang dibangkitkan juga haruslah berpandukan perlembagaan yang telah ditetapkan dan tidak dapat mengikut kesesuaian pemandu yang ingin mengubah peraturan perlembagaan dengan sesuka hati," kata Ding.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Sesi Dialog Bersama Pemandu Teksi Zon Tengah di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, pada Sabtu.

Antara isu-isu yang dibangkitkan pada sesi dialog ini ialah berkaitan perbandingan pembayaran penggunaan kenderaan teksi dan kemudahan grab yang sangat berbeza dan keadaan ini menyebabkan pendapatan serta penggunan terhadap perkhidmatan pemandu teksi yang semakin kurang pelanggan. 

Sehubungan dengan masalah ini, kata Ding, perwakilan daripada persatuan teksi ini perlu menulis surat kepada pihak Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) berkaitan masalah yang dihadapi mereka ini.

"Jika isu yang berkaitan ini disampaikan secara formal kepada pihak LPKP, kita yakin pihak ini akan cuba untuk mengutarakan masalah berbangkit ke peringkat yang lebih tinggi lagi untuk dipertimbangkan. 

"Dalam menyelasaikan perkara ini, kerjasama semua pihak amat penting dan golongan ini perlu bersabar kerana kerajaan sentiasa perihatin dengan masalah yang mereka hadapi," jelas Ding lagi.

Turut hadir sama pada sesi dialog ini ialah Pegawai LPKP Bahagian Sibu, Wong Siong Siang serta wakil-wakil pemandu teks dari bahagian Sarikei.
 

  • oleh
  • Advertisement